Berita Hari Ini

Syor Bina Stesen ECRL Di Nilai – Anthony Loke

SEREMBAN – Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook akan mengesyorkan sebuah stesen bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dibina di Nilai dekat sini.

Menurutnya, pembinaan stesen di kawasan itu dilihat mampu menyuntik sokongan kepada pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) yang dirancang di kawasan Nilai, Seremban sehingga Port Dickson.

“Saya akan usaha untuk perjuangkan sebuah stesen di Nilai. ECRL adalah projek besar dan perlu diberi perhatian. Manfaatnya bukan sahaja kepada negeri pantai timur tetapi juga kepada Negeri Sembilan,” katanya.

Loke (DAP-Chennah) berkata demikian ketika membahas usul menjunjung kasih Titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, di sini, hari ini, lapor Bernama.

Terdahulu, Anggota Parlimen Seremban itu berkata perubahan jajaran projek ECRL yang akan turut melibatkan Jelebu, bakal membawa banyak manfaat kepada pembangunan ekonomi di daerah berkenaan.

“Sudah tentu bukan hanya ada landasan, mesti ada stesen. Kawasan sekitar Kuala Klawang dan Chennah serta Parlimen Jelebu akan dapat tempias…ECRL bukan sahaja fokus penumpang tetapi juga kargo yang menghubungkan Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang. Penyambungan antara pelabuhan menjadikan kawasan sekitar jajaran sesuai untuk kawasan perindustrian dan kilang,” ujarnya.

Selain itu, Loke berkata limpahan pembangunan juga akan dapat dilihat dalam sektor pertanian dan pelancongan kerana Jelebu mempunyai lokasi dan potensi yang baik bagi kedua-dua sektor.

“Saya minta kerajaan negeri perlu siap sedia buat perancangan. Pembinaan bagi projek ECRL akan disambung semula bulan depan. Bagi jajaran baharu mungkin ambil masa untuk kajian dan laporan EIA (Kajian Impak Alam Sekitar),” ujarnya.

Dalam pada itu, Loke berkata kemenangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu, menyaksikan landskap politik negara kini mempunyai sistem dua parti sekali gus tiada lagi parti yang dilihat dominan.

Katanya kemenangan PH turut membuka satu budaya politik yang lebih kompetitif dengan adanya prinsip semak dan imbang terhadap kerajaan memerintah, pihak pembangkang yang sentiasa memantau dan rakyat yang sering mengingatkan.

“Dengan adanya sistem dua parti, tidak ada mana-mana parti yang boleh mendabik dada dan berkata mereka akan memerintah selama-lamanya. Ini akan menyuburkan lagi sistem demokrasi di negara ini, tambahan dengan adanya jumlah pembangkang yang ramai pada ketika ini yang akan sentiasa mengamalkan prinsip semak dan imbang,” katanya.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata kerajaan juga harus mengamalkan integriti yang dapat memenuhi aspirasi rakyat dan sekiranya ia tidak dapat ditepati, PH mungkin mengalami nasib yang sama seperti kerajaan terdahulu pada pilihan raya yang akan datang.

“Siapa sahaja yang memerintah mesti berintegriti dan dapat penuhi hasrat dan aspirasi rakyat. Kalau tuntutan tidak dapat ditunaikan parti memerintah maka nasib yang akan menimpa parti memerintah akan diturunkan rakyat dalam PRU akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Loke juga berkata kerajaan PH perlu meninggalkan cara pemikiran lama dan mengamalkan sistem pentadbiran terbuka yang mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuk pembangkang.

“Ini akan membolehkan kita melihat sesuatu isu dan dasar dari pelbagai perspektif. Kita juga harus memberi perhatian serius terhadap teguran yang dikemukakan bagi memperbaiki kelemahan.

“Bagaimanapun, kerajaan mestilah berani membuat keputusan dengan tegas dan melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh, kerana itulah yang diinginkan oleh rakyat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");