Perak Hari Ini

Tambah Baik Prosedur Kelulusan Projek Pembangunan Ladang Hutan

IPOH: Jabatan Perhutanan Perak sedang dalam proses menambahbaik prosedur ataupun garis panduan berkenaan kelulusan projek pembangunan ladang hutan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ia sebagai langkah bagi memastikan agar hanya syarikat yang berkeupayaan dari sudut kepakaran serta kewangan sahaja layak diberi kelulusan tersebut.

Jelasnya kerajaan negeri akan meletakkan syarat modal bayaran minimum RM200,000 kepada syarikat yang berminat untuk memohon selain ia akan dibuat secara tender terbuka.

Katanya, peraturan yang sedia ada tidak menyatakan nilai minimum modal sesebuah syarikat yang memohon.

“Menurut syarat-syarat yang tidak pernah disemak, untuk memohon konsesi balak dan ladang hutan di negeri ini, syarikat itu hanya perlu memiliki tukul besi.

“Saya sendiri pun baru mengetahui perkara ini. Oleh itu saya memohon maaf di atas kekeliruan yang timbul sebelum ini sehingga menimbulkan polemik berkaitan syarikat RM2,”katanya.

Tambahnya antara syarat yang tertakluk kepada syarikat untuk pembangunan ladang hutan ialah termasuk laporan oleh Pegawai Hutan Daerah, kelulusan oleh Jabatan Alam Sekitar, penyediaan dokumen Rancangan Pengurusan Ladang Hutan serta kontrak perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan negeri dengan syarikat.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan Menteri Besar Persidangan Dewan Undangn Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan dekat sini, hari ini.

Sementara itu katanya, pentadbiran sebelum ini telah meluluskan zon pembangunan ladang hutan seluas 61,189 hektar dalam Hutan Simpanan Kekal Negeri.

Walau bagaimanapun ujarnya, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) telah mengurangkannya kepada 35,000 hektar.

“Daripada jumlah itu, hanya 7,828 hektar sahaja yang telah diusahakan manakala yang selebihnya masih dalam proses penyediaan dokumen seperti Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Rancangan Pengurusan Ladang Hutan,” katanya.

Pada perkembangan sama, Ahmad Faizal turut menyebut bahawa cadangan konsesi yang dikemukakan Syarikat Bujang Holdings bagi penyelenggaraan jalan Pihak Berkuasa Tempatan di Perak masih lagi dalam peringkat penelitian dan pertimbangan kerajaan negeri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");