Berita Hari Ini

“Tiada Lagi Haji Kali Kedua, Beri Peluang Kepada 3.2 Juta Dalam Senarai Menunggu”

KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) menetapkan pendeposit yang sudah menunaikan haji, tidak lagi dibenar mendaftar semula dengan institusi pengurusan dana haji itu untuk mengerjakan ibadat berkenaan buat kali kedua.

Menurut laporan BH Online, TH juga memberi jaminan subsidi haji yang diperuntukkan sejak sekian lama akan dikekalkan bagi tahun ini walaupun tanggungan berkenaan sudah mencecah RM400 juta.

Mengulas lanjut perkembangan itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat, berkata amalan selama ini ialah pendeposit yang sudah menunaikan haji, boleh mendaftar semula selepas lima tahun untuk senarai menunggu.

“Namun bermula tahun ini, mereka tidak lagi boleh berbuat demikian bagi memberi peluang kepada orang lain pula.

“Sehingga kini, seramai 3.2 juta orang berada dalam senarai menunggu untuk menunaikan haji, jadi kita harap orang ramai faham keadaan ini.

“Kalau mendaftar hari ini, individu perlu menunggu selama 114 tahun untuk mendapat giliran menunaikan haji.

“Berilah peluang kepada mereka yang belum menunaikan haji,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama BH, semalam.

Zukri mengakui dengan peraturan baharu itu, TH bersedia melihat pendeposit yang sudah menunaikan haji mengeluarkan simpanan mereka, namun beliau tetap berharap semua pihak memahami situasi dihadapi institusi berkenaan.

Mengenai subsidi haji, beliau berkata, walaupun tanggungjawab berkenaan yang lebih tepat dirujuk sebagai kos tanggungan haji meningkat setiap tahun, TH memberi jaminan subsidi untuk tahun ini dikekalkan.

Bagaimanapun, katanya, subsidi untuk tahun-tahun berikutnya akan dibincangkan dengan kerajaan, sama ada jumlahnya akan dikurangkan atau tidak berikutan kos pengurusan ibadat itu semakin meningkat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");