Perak Hari Ini

UTP Mahu Lipatgandakan Usaha Promosi Pendidikan STEM

IPOH: Universiti Teknologi Petronas (UTP) sedang bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam menubuhkan sebuah pusat Pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS), di sini.

NGO yang terlibat sama ialah Yayasan Pendidikan Perak dan Yayasan Pendidikan Kampar (YPK).

Naib Canselor UTP, Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata inisiatif tersebut bertujuan untuk melipatgandakan usaha mereka dalam mempromosikan pendidikan STEM kepada para pelajar.

“Kita mahu mengetengahkan lagi pendidikan STEM ini dengan lebih kuat dan agresif. Ia memandangkan statistik golongan pelajar yang mahu terlibat dalam pendidikan tersebut semakin menurun.

“Dalam kita hendak menghadapi Revolusi Industri Keempat (IR 4.0), mahu tidak mahu kita kena memperkasakan ke arah bidang teknologi.

“Ini antara usaha yang kami lakukan dan saya juga percaya institusi pendidikan lain juga akan turut sama mempromosikan pendidikan STEM ini dengan lebih agresif,” katanya.

Tambahnya beliau berharap agar Kerajaan Perak dapat memberi sokongan kepada usaha mereka itu.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Program STEM Waves@Perak 2019 di MAPS, Meru Raya, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha menggalakkan promosi pendidikan STEM disambut baik kerajaan negeri.

Katanya usaha memperkasakan bidang pendidikan bukanlah tanggungjawab sesetengah pihak sebaliknya semua bertanggungjawab dalam usaha tersebut.

Selain itu, pelancaran NGO Yayasan Pendidikan Perak yang dirasmikan dalam program yang sama itu juga mendapat respon baik daripada beliau.

“Tentunya juga mereka akan meneruskan usaha untuk meningkatkan kecemerlangan para pelajar di semua peringkat.

“Kerajaan negeri akan memberi kerjasama dari segi bentuk peruntukan dan lain-lain. Kita akan sentiasa menyokong usaha seperti ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");