Sukan Hari Ini

Wood Rancakkan Semua Perniagaan Golf

NEW YORK: Kejayaan Tiger Woods menamatkan kemarau gelaran sejak 2008 di kejohanan Masters Ahad lalu merancakkan semula perniagaan sukan itu menerusi peningkatan tajaan, penyiaran dan pemilik lapangan golf yang akan berlumba-lumba mengundang pemain legenda itu menyertai kejohanan mereka.

Kejohanan Masters itu kembali meletakkan pemain berusia 43 tahun itu di kelompok teratas seperti pernah dikecapinya 25 tahun lalu.

“Tiger jual golf,” kata Eric Smallwood, Presiden Kumpulan Pemasaran Apex Inc. iaitu firma analisa pasaran berpangkalan di Michigan.

Sejak kemenangan itu, Apex turut mendapati Nike memperoleh keuntungan dari segi paparan jenama bernilai AS$22.5 juta (RM95 juta) apabila logo ‘Swoosh’ Nike pada topi, kemeja T, seluar dan kasut yang dipakai Woods terpampang sepanjang beraksi hingga meningakatkan jualan jenama berkenaan sebanyak satu peratus semalam.

Penyiar rasmi kejohanan, CBS Corp juga mendapati rating mereka meningkat dengan mencatat angka tertinggi bagi siaran langsung golf sebelah pagi sejak 1986.

Kejohanan golf Masters lazimnya dlangsungkan sebelah petang namun pusingan terakhir Masters berkenaan dijadualkan sebelah pagi susulan masalah cuaca.

Sumber yang rapat dengan industri penyiaran turut mendedahkan bahawa CBS mungkin meningkatkan harga pengiklanan mereka selepas stesen berkenaan mendapat hak sebagai penyiar rasmi Kejohanan PGA sejak Mei lalu.

Presiden Pilson Communications, Neal Pilson yang juga bekas Presiden CBS Sports juga menyatakan sukan golf diminati golongan berpendapatan mewah dan berpendidikan yang secara langsung mendorong kenaikan rating stesen TV selain mempengaruhi jualan aparatus golf termasuk jualan tiket.

“Memang bersejarah, kejohanan yang dimenangi Tiger Woods pada Ahad meningkatan rating 30 hingga 40 peratus di Amerika Syarikat,” kata Pilson.

Woods mewarnai dunia golf selama 20 tahun sejak beralih sebagai pemain pro pada 1996.

Setahun kemudian dia menduduki ranking nombor satu dunia sekali gus meraih pendapatan lumayan hasil perjanjian tajaan lima tahun bersama Nike bernilai AS$40 juta (RM168 juta) selain menyaksikan kelibatnya sentiasa menghangatkan sukan golf di serata dunia.

Namun itu semua ada pasang surutnya. Kehidupan peribadi Woods yang terjerumus dengan beberapa skandal pada 2009 menyebabkannya terlepas tajaan mewah daripada pengeluar jenama gergasi antaranya AT&T Inc dan Accenture Plc.

Turut menarik diri ketika itu adalah Procter & Gamble Co, Gillette, Berkshire Hathaway Inc’s dan NetJets, yang semuanya tidak lagi menggunakan Woods sebagai duta pemasaran mereka.

Woods kemudian merosot selepas mengalami sakit belakang dan berehat lama selepas menjalani pembedahan dan sepi seketika daripada pandangan umum.

Pada 2017, polis menahannya atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dan dia terpaksa memasuki program pemulihan selepas mengaku salah atas tuduhan memandu dalam keadaan cuai.

Setahun kemudian, Woods kembali ke lapangan hingga mencapai detik gemilangnya semula di Masters Ahad lalu sekali gus menyaksikan Nike dengan segera memuat naik iklan “Tiger Woods: Same Dream” mereka menerusi laman web.

Benjamin Hordell, pengasas firma pemasaran dan pengiklanan digital, DXagency berkata: “Tiger menghidupkan semuanya sekali lagi. Ia adalah satu kisah dari perspektif yang menakjubkan. Orang ramai akan mengikutinya semula.”

Lewat hari ini, Presiden Donald Trump juga mengesahkan akan menganugerahkan pingat ‘Presidential Medal of Freedom kepada Woods. – Reuters

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");