Perak Hari Ini

Zhemin Akan Serahkan 23 Soalan Kepada Zambry Esok

IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Audit Perak Corporation Berhad (PCB), Chong Zhemin akan menyerahkan kesemua 23 kenyataan dan pertanyaan beliau berkenaan penyelewengan terhadap kos pembinaan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) kepada Mantan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji berkata ia akan diserahkan semasa sesi pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan berlangsung esok.

Ujarnya beliau juga akan membangkitkan perkara yang sama sewaktu sesi ucapan di Bangunan Perak Darul Ridzuan nanti.

Katanya, sepanjang 23 kenyataan dan persoalan yang dibangkitkan hanya sekali sahaja ADUN Pangkor itu memberi jawapan balas.

“Zambry hanya memberi respons sekali sahaja kepada saya namun, beliau menuduh saya seolah-olah cuba mewujudkan situasi perbicaraan melalui media, tanpa menjawab mana-mana soalan yang dibangkitkan.

“Zambry juga mengatakan yang beliau bersedia untuk berhadapan dengan segala tuduhan oleh Pakatan Harapan pada sidang DUN nanti.

“Sepanjang 23 hari ini, kesemua soalan yang saya bangkitkan itu adalah bersandarkan kepada bukti dan fakta yang dikemukakan dalam Laporan Audit Dalaman Khas berkenaan MAPS. Ia bukan satu tuduhan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Zhemin, tindakan Zambry seolah-olah cuba ‘meniru’ bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak ketika berhadapan dengan kes skandal 1MDB, apabila Zambry dikatakan cuba menuding jari kepada ahli lembaga pengarah berkaitan isu MAPS.

Beliau sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa ketika menjadi Menteri Besar, Zambry mempunyai pengaruh dan tanggungjawab yang sepenuhnya ke atas urusan serta kewangan Perak Corporation Berhad (PCB), PBC Development Sdn Bhd (PCBD) serta Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP).

Segala persoalan berkenaan kemungkinan terdapatnya salah laku terhadap kos pembinaan MAPS oleh Zhemin kepada Zambry bermula menerusi satu sidang media pada 23 Mac.

Baru-baru ini Zhemin mempersoalkan tarikan ‘Lake Coaster’ di MAPS yang dikatakan telah terbiar sekian lama tanpa sebarang usaha untuk memasangnya.

Malah katanya kesemua kos komponen tersebut sepatutnya berjumlah RM20.3 namun, pihak ATP sewaktu pentadbiran dahulu telah membuat pembayaran sebanyak RM22 juta.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");