Berita Hari Ini

Zuraida: Lepas 10 Bulan Malaysia Bukan Lagi Kerajaan Kleptokrat

Di sebalik pelbagai laporan mendakwa keyakinan rakyat terhadap kerajaan baru berusia 10 bulan sekarang menurun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mengingatkan ada satu perubahan besar dibawa PH.

Katanya perubahan ketara itu ialah, Malaysia tidak lagi dikenali sebagai kerajaan kleptokrat.

Justeru kata ketua Wanita PH itu lagi rakyat sebenarnya kini boleh berlapang dada dengan perubahan besar yang dibawa kerajaan berbanding ketika negara masih dibawah BN.

Kata Zuraida, PH berjaya mengubah imej buruk Malaysia daripada sebuah pentadbiran yang mengamalkan dasar kleptokrasi kepada kerajaan yang bersih.

“Mungkin ada antara kita sudah terlupa bahawa permasalahan yang dihadapi kini bukanlah suatu perkara baru kerana sebahagian besarnya diwarisi PH daripada kerajaan terdahulu.

“Sudah tentu kita memerlukan masa untuk memulihkan semuanya, lebih-lebih lagi dengan situasi ekonomi, politik dan sosial yang sedang kita hadapi sekarang.

“Namun begitu, kita boleh berlapang dada kerana imej dan nama negara yang dahulunya dikenali sebagai sebuah kerajaan kleptokrasi kini dibersihkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Zuraida berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar bahawa rating PH kini jatuh menjunam dengan sebilangan besar rakyat tidak berpuas hati dengan pemerintahan sekarang.

Media kelmarin melaporkan hasil tinjauan Merdeka Center yang menunjukkan keyakinan pengundi terhadap pentadbiran PH mengurus ekonomi setakat bulan lalu jauh merosot berbanding ketika mula mengambil alih kuasa pada Mei 2018.

Bagaimanapun, majoriti responden berasakan kerajaan perlu diberi lebih masa untuk menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto PRU14, termasuk majoriti 52 peratus pengundi Melayu yang lebih kritikal terhadap kerajaan baru.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata dalam beberapa kaji selidik yang dilakukan juga jelas membuktikan kerajaan hari ini berjaya menangani gejala rasuah yang dahulu menjadi barah dan merencatkan pembangunan negara.

Bahkan, anggota Parlimen Ampang itu berkata ia bukan lagi satu perkara utama yang menjadi kerisauan rakyat lapor MKini.

“Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sedang berada di landasan yang betul dengan pelbagai inisiatif dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan keupayaan negara dalam pelbagai sektor dan bidang.

“Saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan dan bersama-sama berusaha untuk memacu pembangunan negara,” katanya yang juga naib presiden PKR.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");