Berita Hari Ini

1.6 juta Kenderaan Dijangka Di LPT1

TEMERLOH: Jumlah kenderaan yang melalui Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) dijangka mencecah 1.6 juta sepanjang sembilan hari musim perayaan tahun ini.

Pengarah Eksekutif Anih Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, berkata pertambahan jumlah kenderaan itu sebanyak 65 peratus, iaitu bermula 1 hingga 3 Jun apabila warga kota mula pulang ke kampung halaman.

Secara purata jumlah kenderaan yang melalui KL-Karak 108,000 buah pada hari biasa, dijangka meningkat kepada 179,000 buah manakala di LPT1, 48,000 kenderaan pada hari biasa dijangka meningkat kepada 76,600 kenderaan sehari.

“Bagi menghadapinya jumlah peningkatan itu, cadangan waktu perjalanan akan dikeluarkan bagi mengurangkan kesesakan melampau pada waktu puncak, selain melancarkan perjalanan pengguna lebuh raya.

“Kami juga akan memberikan diskaun tol yang akan diumumkan Menteri Kerja Raya, Baru Bian, melakukan rondaan trafik dan fasiliti, menambah 17 hingga 24 peratus kakitangan serta mendapatkan bantuan dari pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” katanya.

Nik Fauzi berkata demikian ketika ditemui pada program Berkongsi Barakah Ramadan, iaitu edaran peket buah kurma dan juadah iftar kepada pengguna LPT1 di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia, Datuk Aziz Abdullah.

Menurut Nik Fauzi, Anih Berhad meneruskan tradisi tahunannya pada bulan Ramadan dengan mengedarkan buah kurma dan juadah iftar secara percuma kepada pengguna di dua lebuh raya konsesinya.

Nik Fauzi berkata, edaran yang bermula pada 17 Mei hingga akhir Ramadan dilaksanakan di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Karak menjelang waktu berbuka puasa.

Edaran secara percuma juadah iftar yang mengandungi set lauk, nasi, air mineral dan kurma pula dibuat menerusi kaunter pandu lalu khas bermula pukul 5.30 petang hingga 7.30 petang di R&R Genting Sempah, Temerloh dan Gambang arah timur.

Nik Fauzi berkata, sumbangan tahun ketiga itu membabitkan 11,000 peket buah kurma percuma dan 2,500 pek juadah berbuka itu juga tanda penghargaan mereka kepada pengguna dua lebuh raya berkenaan. – BERNAMA

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");