Perak Hari Ini

198 Pemeriksaan Premis Jualan Minuman Beralkohol Telah Dijalankan

IPOH: Sebanyak 13 kes keracunan metanol telah dicatatkan di Perak dalam tempoh 30 April sehingga 12 Mei tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A. Sivanesan berkata daripada jumlah tersebut sebanyak enam kes berlaku di Daerah Kinta dimana masing-masing dua kes di Kuala Kangsar, Perak Tengah dan di Daerah Larut, Matang dan Selama serta satu kes di Batang Padang.

Katanya bagi tahun 2019 setakat ini, sebanyak 198 pemeriksaan ke atas premis jualan minuman beralkohol telah dijalankan di seluruh negeri.

Tambahnya, pada masa sama sebanyak empat notis 32(B) telah dikeluarkan yang mana setiap satu kompaun tersebut ialah bernilai RM3,000.

“13 sampel telah diambil untuk dianalisis. Rampasan melibatkan 90 botol keseluruhannya dan ia berjumlah sebanyak RM876.50,” katanya.

Jelasnya lagi, beberapa tindakan telah diambil Jabatan Kesihatan Negeri bagi membendung kes seperti itu daripada terus berulang.

Antaranya ialah pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis yang menjual minuman beralkohol.

Tambahnya, ia turut diadakan risikan ke atas rumah-rumah kongsi di tapak pembinaan dan penempatan asrama kilang yang mana ia menyasarkan warga asing.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam satu operasi pemeriksaan premis menjual minuman beralkohol di sekitar Bercham, di sini, hari ini.

Dalam operasi tersebut katanya satu notis telah dikeluarkan kepada sebuah premis yang mana ia difahamkan telah melanggar Peraturan 361(2) bagi minuman beralkohol.

“Ketika kita melakukan pemeriksaan ke atas premis tersebut, memang ada berlaku pelanggaran undang-undang dan kita telah mengeluarkan kompaun.

“Seperti biasa alasan mereka ialah ‘tidak tahu akan peraturan’, ‘baru membeli minuman tersebut’ dan ‘ia dimiliki pemilik lama’. Kita tidak menerimanya kerana hal ini melibatkan nyawa,” katanya.

Jelasnya pemeriksaan akan diteruskan ke atas beberapa premis yang menjual barangan yang sama di sekitar Bandaraya pada hari ini.

Pada masa sama A. Sivanesan turut ditanyakan sama ada benar atau tidak mangsa keracunan metanol yang buta baru-baru ini adalah disebabkan bahan terlarang tersebut.

Bagaimanapun, pihaknya tidak mempunyai maklumat lanjut tentang kes berkenaan namun menjelaskan bahawa buta merupakan salah satu implikasi daripada keracunan metanol.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");