Berita Hari Ini

1MDB: Malaysia Terima Pemindahan Pertama RM236 Juta Dari AS – Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Malaysia sudah menerima pemindahan pertama dana yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak AS$57 juta (RM236 juta) dari Amerika Syarikat (AS) yang disita daripada Red Granite Pictures.

Red Granite Pictures adalah syarikat pembikinan filem berpangkalan di AS yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan anak tirinya Riza Aziz.

Menurut laporan BH Online, perkara itu disahkan Peguam Negara, Tommy Thomas yang berkata, pembayaran pertama dana itu diperoleh semula hasil daripada penyitaan aset berkaitan 1MDB di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan AS (DOJ).

“Pemindahan pertama dana yang dipulangkan sebanyak AS$57,036,688.68 dikreditkan ke dalam akaun pemulihan aset 1MDB, sebuah akaun amanah yang dibuka secara khusus untuk tujuan ini.

“Dana itu turut diperoleh susulan penyelesaian sebanyak AS$60 juta (RM249 juta) yang direkodkan di Mahkamah California, baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Riza adalah Ketua Eksekutif Red Granite Pictures dan menerbitkan filem Hollywood ‘Wolf Wall Street’ yang disaman DOJ bagi tujuan memulangkan AS$1 bilion dana didakwa disalahgunakan berasal dari 1MDB.

Thomas berkata, sejumlah AS$3 juta (RM12.45 juta) ditolak untuk membayar semula kos dibelanjakan DOJ dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk menyiasat, menyita, membicarakan dan mencapai penyelesaian bagi dana Red Granite Pictures.

Katanya, kos ini termasuk yang dibelanjakan DOJ dan FBI untuk menyiasat, menyita dan memelihara kapal layar mewah, Equanimity ketika kapal terbabit ditahan di perairan Indonesia sebelum dibawa ke perairan negara ini.

“DOJ kini juga dalam proses menghantar pulang sejumlah AS$139 juta (RM576.85 juta) wang yang diperoleh hasil daripada jualan kepentingan milik Jho Low dalam Hotel Park Lane di Manhattan, New York.

“Semua kos dibelanjakan DOJ dan FBI untuk menyiasat, menyita, membicarakan dan mencapai penyelesaian bagi aset Hotel Park Lane akan ditolak daripada wang penyelesaian berkenaan dan bakinya akan dikreditkan ke dalam akaun pemulihan aset 1MDB dalam waktu terdekat,” katanya.

Katanya, DOJ baru-baru ini mengumumkan daripada AS$4.5 bilion (RM18.67 bilion) yang dipindahkan secara salah dari 1MDB, aset yang sedang diusahakan untuk disita DOJ melalui pelbagai tindakan aduan sivil yang difailkan sejak tahun 2016 sehingga tahun ini dianggarkan bernilai AS$1.7 bilion (RM7 bilion).

Beliau berkata, aset itu termasuk kapal layar mewah, Equanimity yang dijual secara kehakiman oleh Mahkamah Admiralti Malaysia bulan lalu pada harga AS$126 juta (RM522.9 juta).

Sementara itu Thomas berkata, Malaysia setakat ini berjaya mendapatkan semula dana berjumlah AS$322 juta (RM1.3 bilion) nilaian daripada aset sejak siasatan ke atas syarikat kontroversi itu bermula secara efektif selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018.

Beliau berkata, Malaysia juga bakal menerima SGD50 juta (RM152.5 juta) daripada dana berkaitan dengan 1MDB menerusi keputusan Mahkamah di Singapura.

“Sejumlah SGD15 juta (RM45.75 juta) dikreditkan ke dalam akaun aset pemulihan 1MDB antara September tahun lalu sehingga Mac lalu. Baki sebanyak SGD35 juta (RM106.75 juta) akan dikreditkan tidak lama lagi,” katanya.

Thomas berkata, pemulihan aset ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa bantuan dan kerjasama baik pihak berkuasa Malaysia dengan rakan sejawat di AS serta Singapura.

“Kami menyatakan terima kasih kepada mereka. Usaha mendapatkan semula aset 1MDB di seluruh dunia masih berjalan dan Malaysia yakin lebih banyak wang bakal diperoleh semula pada bulan mendatang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");