Perak Hari Ini

Ada Berlaku Penurunan Harga Bekalan Bahan Mentah – Exco

IPOH: Harga barangan keperluan dan bahan mentah yang dijual di negeri ini mengalami penyusutan harga sekitar lima ke 20 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A. Sivanesan berkata hasil maklum balas daripada para peniaga terdapat beberapa penurunan harga yang dicatatkan pada bulan ini, berbanding pada Januari.

Katanya antara barangan tersebut ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam, daging kerbau import, tomato, ikan kembung dan ikan selang.

Tambahnya menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa yang dilancarkan pada hari ini sehingga 19 Jun, ia akan menurun dan mengawal harga barangan keperluan yang tersenarai.

“Harga runcit ayam hidup sekilo ialah RM6.20 yang sebelum ini RM7.20. Harga ayam standard sekilo ialah RM7.50, sebelum ini RM8.50. Ayam super pula sekilo RM8.40, sebelum ini RM9.00.

“Harga runcit telur ayam gred A ialah RM0.40 berbanding RM0.43 sebelum ini. Harga runcit tomato RM3.50 berbanding RM4.00 sebelum ini. Manakala harga runcit bagi ikan selang sekilo RM9.00 berbanding RM12.00 pada sebelum ini,” katanya.

Jelasnya sebanyak 24 jenis barangan yang disenaraikan di Perak berbanding 21 barangan seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

Katanya antara barangan yang dimasukkan dalam SHMMP tahun ini ialah ikan segar dan sejuk beku iaitu kembung, ikan selar, ikan selayang, kacang panjang, kacang tanah dan cili kering.

Sementara itu ujar Sivanesan, pengumuman terhadap pelaksanaan SHMMP telah diuar-uarkan seawal tiga hari yang lalu kepada kesemua peniaga.

Katanya gegantung yang menyenaraikan semua barangan yang terlibat juga telah dipasang di kebanyakan pasar di seluruh negeri.

“Tidak ada alasan sekiranya ada peniaga mengadu mereka tidak tahu. Pegawai-pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan sentiasa turun padang bagi memantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program pelancaran SHMMP Hari Raya Puasa di Pasar Awam Tanjung Rambutan, dekat sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Perak Saifullizan Kamarul Zaman berkata dalam operasi pemantauan di seluruh negeri ia melibatkan 180 pegawai penguatkuasa dan 39 pegawai pemantau harga barangan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");