Berita Hari Ini

Ainul Mardhiah Selamat Tiba Di London

KUALA LUMPUR: Bayi perempuan yang menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, selamat tiba di London, semalam, untuk menjalani pembedahan dan rawatan.

Perkara itu dimaklumkan pakar bedah warga Malaysia yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Dr Nur Amalina Che Bakri, melalui Instagram beliau, semalam.

Beliau berkata, bayi berusia sembilan bulan itu tiba di London bersama ibu bapa, Nurul Erwani Zaidi dan Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, dengan ditemani sekumpulan pakar bius Malaysia.

Dr Nur Amalina yang memuat naik gambarnya dengan Nurul Erwani dan Ahmad Safiuddin, turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia bersama-sama membantu memastikan Ainul Mardhiah selamat tiba serta dapat menjalani rawatan.

“Alhamdulillah, Ainul (Mardhiah), Safi (Ahmad Safiuddin) dan (Nurul) Erwani sudah tiba di London.

“Terima kasih kepada anestesia Malaysia yang menemani Ainul (Mardhiah) ketika penerbangan, kumpulan doktor Malaysia berpangkalan di UK yang menguruskan logistik, Malaysia Airlines dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.

“Tidak dilupakan penghargaan kepada rakyat Malaysia. Ramai pihak terbabit bagi memastikan Ainul (Mardhiah) selamat sampai di sini,” katanya.

Dr Nur Amalina bagaimanapun tidak mengulas lanjut keadaan atau pembedahan dan rawatan Ainul Mardhiah kerana terikat dengan kerahsiaan maklumat pesakit.

“Mohon semua pihak menghormati privasi keluarga mereka dalam tempoh sukar ini. Mari kita bersama-sama doakan bayi Ainul (Mardhiah),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Dr Nur Amalina bersama sekumpulan pakar di UK bersedia membuat pembedahan terhadap Ainul Mardhiah dengan kos rawatan dianggarkan lebih RM1 juta.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");