Berita Hari Ini

Akan Ada 2 Kematian Jika Adib Ditarik Keluar Daripada Van, Kata Pakar Forensik

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini diberitahu akan berlaku 2 kematian sekiranya anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, ditarik keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, November tahun lepas.

Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata pelaku yang menarik Muhammad Adib turut berdepan bahaya kerana berada pada zon bahaya iaitu kawasan di bahagian kiri van EMRS.

Ahmad Hafizam, yang juga saksi ke-24, berkata pelaku dan Adib turut terdedah dengan kecederaan yang besar sehingga boleh mengakibatkan kematian sekiranya situasi tersebut berlaku.

“Cadangan Dr Shahrom (Perunding Kanan Patalogi Forensik, Prof Dr Shahrom Abd Wahid) bahawa anggota bomba itu ditarik, pelaku yang menarik itu akan berdepan bahaya sama dengan Adib kerana tidak dapat keluar dari zon bahaya iaitu bahagian kiri van EMRS.

“… dan pegawai penyiasat polis bagi kes itu juga memaklumkan pada masa kejadian tidak ada individu lain yang tercedera,” katanya ketika memberi keterangan pada prosiding inkues kematian Adib pada hari ke-33, hari ini.

Beliau turut menolak beberapa teori yang dibentangkan Shahrom yang juga saksi ke-29 sebelum ini, berhubung kematian Adib.

Ahmad Hafizam dalam rumusannya berkata, teori Shahrom tidak berpadanan dengan corak dan kecederaan dialami mangsa yang diperiksanya secara klinikal ketika bedah siasat bersama Ketua Jabatan Forensik HKL, Ahmad Shah Mahmood.

“Teori Dr Shahrom hanya memilih kecederaan tertentu pada lengan atas dan kanan (Adib), selain (kecederaan) tidak berpadanan dengan tempoh masa cepat dan bagaimana mangsa mendapat kecederaan,” katanya yang turut mengulangi dapatan bahawa Adib keluar sendiri daripada van EMRS ketika insiden rusuhan itu berlaku.

Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas dan meninggal dunia pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara.

Inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung lapor FMT.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");