Berita Hari Ini

Alasan Sakit Perut Tidak Menjadi

JOHOR BAHRU – Seorang janda beranak dua merupakan antara 10 individu yang ditahan berkhalwat dalam serbuan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di kawasan Perling dan Danga di sini malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi berkata, wanita berusia 43 tahun ditahan bersama pasangannya berusia 31 tahun dalam serbuan bermula pukul 9 malam sehingga 12 tengah malam.

“Wanita terbabit mendakwa dia mengalami sakit perut dan terpaksa menginap di hotel. Pasangannya kemudiannya membantunya dengan membeli ubat.

“Itulah antara alasan yang diberikan pasangan terbabit tinggal di bilik hotel bajet yang terletak di Danga,” katanya sebagaimana dilaporkan Kosmo Online, hari ini.

Operasi terbabit melibatkan 19 anggota dari Bahagian Penguatkuasaan JAINJ.

Tosrin menambah, kesemua individu berusia lingkungan 18 hingga 43 tahun yang ditahan dalam operasi bersempena cuti Hari Buruh itu telah dibawa ke Ibu Pejabat JAINJ untuk tindakan lanjut.

“Kesemua mereka akan dijamin oleh waris masing-masing sebelum menunggu proses pendakwaan,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 27 (1) A dan B, Enakmen Kesalahan Syariah Johor 1997 yang memperuntukkan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit dengan kesalahan.

Dalam pada itu, Tosrin memberitahu, kerajaan negeri komited dalam usaha untuk membanteras masalah yang melibatkan orang Islam di negeri ini.

“Operasi akan dijalankan secara berterusan dan kita juga akan menjalankan pemantauan juga akan dilakukan daripada semasa ke semasa,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");