Perak Hari Ini

Ambil Inisiatif Pulihara Kuang Raya

IPOH: Dalam memastikan kelangsungan spesies burung Kuang Raya, Lost World Of Tambun mengambil inisiatif bagi mewujudkan sebuah pusat konservasi hidupan tersebut dalam taman tema mereka.

Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi Mohd. Azahari berkata ia juga sebagai langkah dalam memperkenalkan kepada umum terhadap spesies burung yang jumlahnya kian berkurangan di Malaysia itu.

“Bersempena dengan sambutan Hari Raya nanti kita memang mahu mengetengahkan spesies haiwan tempatan.

“Kali ini kita mengetengahkan spesies tempatan yang kebanyakan rakyat Malaysia sendiri tidak menyedari akan kewujudan haiwan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim tidak menafikan taburan habitat Kuang Raya atau nama saintifiknya, Argusianus argus di negara ini semakin mengecil.

Jelasnya spesies lain seperti Kuang Cermin dan Kuang Gunung juga menghadapi masalah yang sama.

Katanya antara punca jumlah hidupan tersebut kian berkurangan adalah kerana ianya sering menjadi mangsa aktiviti perburuan yang mahukan dagingnya.

Ujarnya lagi hidupan tersebut kini kebanyakannya terdapat di Taman Negara.

“Sekiranya usaha ini berjaya mungkin kita akan bekerjasama lagi dengan Lost World Of Tambun untuk memperkenalkan spesies Burung Kuang yang lain pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Pusat Konservasi Kuang Raya di Lost World Of Tambun, dekat sini, pada Isnin.

Menurut Penolong Pengurus Besar (Projek dan Operasi) taman tema tersebut, S Ramesh, pusat konservasi itu menempatkan enam ekor Kuang Raya yang masing-masingnya berpasangan.

Katanya, burung yang dikenali sebagai ‘burung seribu mata’ itu boleh bertelur sehingga dua ke tiga biji selain musim mengawannya kebiasaan akan berada antara bulan Jun sehingga September.

Jelasnya sebagaimana spesies Burung Merak, Kuang Raya akan mengembangkan bulu ekornya apabila tiba tempoh mengawan.

“Hasrat kita jika ia boleh dibiakkan sekurang-kurangnya dua ekor, dan kita akan serahkan kepada PERHILITAN untuk dilepaskan semula bakanya ke habitat asal mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");