Berita Hari Ini

Anggota PPN Kelantan Bantah Pindaan Baharu

KOTA BHARU – Kira-kira 150 anggota Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kelantan hari ini membuat bantahan terhadap pewartaan Peraturan-peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Anggota Jemaah Pengarah PPN Datuk Aimi Yusof berkata, tindakan pewartaan terbabit tidak pernah dibincangkan bersama pihaknya dan dilihat seolah-olah telah mencabuli hak mereka sebagai anggota dalam pertubuhan itu.

“Dalam pindaan itu dinyatakan bahawa lantikan oleh pihak menteri terutama di PPN dan di Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melebihi jumlah yang dilantik atau dipilih dalam Mesyuarat Agong Pertubuhan Peladang.

“Ia diwartakan tanpa pengetahuan pihak kami dan perlu mengikut pindaan berkenaan yang seolah-olah menafikan hak kami sebagai peladang di semua peringkat untuk memilih kepimpinan sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di sini, hari ini, lapor Bernama.

Terdahulu anggota PPN itu menghadiri taklimat oleh pihak pendaftar Pertubuhan Peladang dari Kuala Lumpur dan dalam masa sama membuat bantahan dan penolakan terhadap pindaan dan pewartaan berkenaan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, menerusi Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 22 April 2019, Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 menetapkan komposisi AJP PPK mestilah terdiri daripada tujuh anggota yang dalam mesyuarat agung tahunan dan lima anggota lagi dilantik oleh menteri, seorang daripadanya hendaklah Peladang Muda dan seorang lagi Peladang Nita.

Warta berkenaan telah dibuat pada 19 April 2019 oleh Pengerusi LPP, Datuk Mazlan Aliman dan diluluskan pada tarikh yang sama oleh Menteri Pertanian dan Indusrtri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub serta dikuatkuasakan pada 1 Mei lepas.

Aimi berkata bantahan itu turut dilakukan seluruh negara termasuk Borneo, Labuan, Sabah dan Sarawak kerana ia dipersetujui tanpa berbincang terlebih dahulu.

Katanya, pindaan yang terdahulu sangat relevan kepada pihaknya dan tidak mahu pertubuhan itu ‘dikacau’.

“Kami bertegas supaya pihak kementerian menunda, menanggung dan seterusnya membatalkan pindaan baharu ini demi kepentingan pertubuhan peladang dan anggota di seluruh negara.

“Di Kelantan, terdapat 34 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) iaitu 13 di bawah KADA dan 21 lagi di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang dengan jumlah keseluruhan anggota PPN di negeri ini seramai 90,000,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");