Sukan Hari Ini

‘Arsenal Kini Lebih Bijak’

VALENCIA: Pierre-Emerick Aubameyang menyifatkan Arsenal sudah belajar daripada kesilapan di pentas Liga Europa musim lalu apabila menyingkirkan Valencia bagi menempah tiket ke final, awal pagi tadi.

Hatrik Aubameyang di Mestalla pada aksi separuh akhir kedua mengesahkan kemaraan Gunners ke final bertemu seteru tetangga London, Chelsea di Baku, hujung bulan ini.

Kemenangan 4-2 menentang wakil Sepanyol itu menyaksikan Arsenal mara dengan agregat selesa 7-3 dan menempah aksi final peringkat Eropah pertama sejak 2006.

Aubameyang, yang menyertai Arsenal pada Januari tahun lalu dari Borussia Dortmund tidak dibenarkan beraksi pada kempen Liga Europa musim lalu yang menyaksikan Gunners tersingkir di separuh akhir kepada juara, Atletico Madrid memetik BHarian.

“Kami mara ke final dan kami semua gembira,” kata Aubameyang. “Ia amat bermakna. Saya fikir kami sudah belajar daripada kesilapan musim lalu dan kami tidak melakukan kesilapan sama pada tahun ini.”

Sekali pun sudah menyumbat puluhan gol untuk Gunners, ini adalah hatrik pertama Aubameyang bagi kelab berkenaan dan rakan sepasukannya Nacho Monreal memuji sumbangannya serta seorang lagi penyerang Alexandre Lacazette yang turut meledak satu gol pada aksi berkenaan.

“Kami memerlukannya dan kami memerlukan Laca,” kata Monreal. “Kami amat berbangga memilikinya kerana dia menjaringkan tiga gol di separuh akhir.

“Dia banyak membantu kami tetapi bukan hanya dia seorang, ia adalah disebabkan sumbangan semua pemain.”

Lacazette berkata Arsenal perlu berkerja keras untuk memenangi trofi Liga Europa bagi melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara musim depan selepas tiket menerusi posisi empat terbaik Liga Perdana tampak sudah berakhir.

“Kami mahu bermain di Liga Juara-Juara dan mahu menang trofi ini,” kata penyerang Perancis itu.

“Kami bermain dengan buruk bulan lalu di Liga Perdana, jadi kami perlu menjadi lebih baik sekarang. Kami akan ke final, jadi kami perlu menggunakan peluang ini untuk menang dan ke Liga Juara-Juara.” – Reuters

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");