Sukan Hari Ini

Azeem Dapat Tiga Tawaran KBS

PUTRAJAYA: Atlet pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi ada tempoh kira-kira seminggu lagi untuk menyatakan pendiriannya terhadap tiga tawaran yang dikemukakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membantu meningkatkan prestasinya pada masa akan datang.

Tiga tawaran berkenaan adalah berlatih di luar negara, dibawa ke Bukit Jalil sambil diberikan segala kemudahan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) atau pun kekal berlatih di Perak dengan segala bantuan akan disalurkan mengikut citarasanya sendiri.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata ketika ini pihaknya masih menunggu reaksi balas daripada Muhammad Azeem.

“Saya bersama Ketua Pengarah MSN (Datuk Ahmad Shapawi Ismail) berkesempatan berjumpa dengannya dan jurulatihnya. Apabila kita menanyakan kepada jurulatihnya tentang usaha KBS untuk bawa dia (Muhammad Azeem) ke luar negara atau pun ke Bukit Jalil, jurulatihnya menyatakan persetujuan kerana keutamaan adalah buat Azeem dan juga keluarganya.

“Sebab kenapa kita beri pilihan ini adalah kerana kita mahu berikan masa kepadanya memandangkan ketika itu dia belum berbincang lagi dengan ibu bapanya serta jurulatih.

“Seminggu daripada sekarang, saya akan dapat maklum balas daripadanya,” katanya ketika ditemui pada Perlancaran perlumbaan jelajah berbasikal wanita antarabangsa Le Tour de Femina (LTdF), di sini, hari ini.

BH Sukan sebelum ini melaporkan Azeem diiktiraf sebagai remaja terpantas dunia untuk peringkat umur bawah 16 tahun (B16) dalam acara 200 meter (m) menerusi catatan 21.24 saat dilakukan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor minggu lalu.

Bagaimanapun, pelajar Sekolah Menengah (SMK) Gunung Rapat, Ipoh, Perak itu semalam menegaskan apa yang bermain di fikirannya ketika ini adalah Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) berbanding menjalani latihan di luar negara.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq merasakan adalah adil untuknya turut diberi keistimewaan kepada jurulatih yang melatih Azeem untuk mendapatkan faedah sama sekiranya pelari pecut muda itu memilih salah satu daripada tawaran yang dikemukakan oleh KBS.

Syed Saddiq turut merasakan adalah lebih baik untuk turut membawa jurulatih Azeem bersamanya selepas pengorbanan yang dilakukan dalam mencungkil bakat atlet di akar umbi.

“Setiap pagi jurulatihnya mengharungi perjalanan dua jam setengah untuk ke tempat latihan daripada rumahnya dan itu menunjukkan dia ikhlas serta begitu komited melatih Azeem.

“Jasa jurulatih begitu besar dan apa yang dilakukan dalam mencungkil bakat itu adalah rahsianya. Kami pun sudah berikan tawaran kepada jurulatih bantuan sekiranya dia mahu ikut sekali.

 

“Kalau boleh kita nak ‘tarik’ (jurulatih) sekali,” katanya kepada BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");