Berita Hari Ini
Like

Badan Hancur Digilis Kereta Api

May 18, 2019
432 Views
0 Comments
2 minutes read
Badan Hancur Digilis Kereta Api

IPOH: Seorang lelaki ditemui mati dengan keseluruhan badannya hancur dipercayai digilis kereta api di landasan kereta api Kilometer 175 hingga Kilometer 165 iaitu antara Stesen KTM Ipoh ke Stesen KTM Tasek, kelmarin.

Dalam kejadian 5.20 petang itu, kapten kereta api elektrik (ETS) memaklumkan telah melanggar sesuatu di KM167.5 dan pemeriksaan di stesen tidak menemui apa-apa kesan sebelum meneruskan perjalanan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata pihaknya menerima laporan setelah petugas KTM menemui sebelah tangan manusia ketika pemeriksaan landasan dilakukan.

“Anggota Balai Polis Kampung Tawas bersama pengawal keselamatan KTM ke landasan kereta api Gunung Lang memulakan pencarian sepanjang 10 kilometer hingga ke Tasek.

“Sepanjang landasan tersebut telah menemui sebahagian cebisan kaki dan tangan manusia serta seluar hitam di tengah landasan kereta api,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis turut menemui MyKad atas nama seorang lelaki berusia 21 tahun yang beralamat di Kampung Temiang, Jalan Datoh, Ipoh.

“Cebisan daging manusia telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun dan mengesan ahli keluarga mangsa dijalankan.

“Pegawai perubatan telah menyusun cebisan dan bahagian-bahagian badan mangsa. Namun, jasad mangsa tidak dapat dicantum sepenuhnya kerana digilis dengan teruk,” katanya.

Mohd Ali berkata, polis turut mengutip mata mangsa yang tersangkut di tepi besi kereta api di Depoh Batu Gajah, semalam.

“Hasil temubual bersama ibu dan ibu saudara mangsa mengesahkan seluar dan dompet yang ditemui adalah milik mangsa.

“Cap jari mangsa telah dapat padanan dengan rekod cap jari yang terdapat di Jabatan Pendaftaran Negara Perak,” katanya.

Katanya, mayat mangsa belum boleh diserahkan kepada waris sehingga menerima keputusan rasmi cap jari dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut lapor Astro Awani.

Komen & Pendapat

Comments are closed.