Berita Hari Ini

Bagaimana Netizen Boleh Sokong Mangsa Bunuh Diri – Ramkarpal

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh kesal dengan tindakan sesetengah netizen atau warga maya yang menyokong keputusan seorang remaja di Batu Kawa, Kuching, Sarawak untuk membunuh diri, Isnin lalu.

Katanya, pihak berkuasa perlu mengambil serius nasib segelintir rakyat yang terdedah dengan bahaya media sosial lapor MKini.

“Apa yang mengejutkan adalah 69 peratus dari rakan akaun media sosialnya dilapor telah menyokong keinginan dirinya untuk membunuh diri.

“Saya terkejut bagaimana sesetengah netizen boleh merestui dia (mangsa) membunuh diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramkarpal mengulas kes remaja berusia 16 tahun yang terjatuh dari tingkat tiga bangunan rumah kedai di MJC, Batu Kawa, Kuching selepas undian rakan di Instagram miliknya memilih supaya dia “mati”.

Portal Suara Sarawak, yang memetik Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan sebagai berkata, mangsa ditemukan adik lelakinya terbaring dan berlumuran darah di atas jalan ketika pulang ke rumah sewa mereka selepas keluar makan bersama ibunya.

Ramkarpal berkata, remaja itu mungkin masih hidup jika netizen tidak mengalakkannya melakukan perkara tersebut.

“Mungkinkah gadis itu masih hidup hari ini jika majoriti netizen di akaun Instagramnya tidak mengalakkannya supaya mengambil nyawa sendiri?

“Mungkinkah dia akan mendengar nasihat netizen untuk mendapatkan bantuan profesional sekiranya mereka mencadangkan dia berbuat demikian?

“Adakah galakkan dari netizen yang menyebabkkan dia membunuh diri. Pelbagai persoalan timbul atas insiden malang ini,” katanya.

Superintenden Aidil juga dipetik sebagai berkata, gadis remaja itu dipercayai membuat satu undian dalam laman Instagramnya dengan memaparkan status Really Important, Help Me Choose D/L yang membawa maksud D (mati) dan L (hidup).

“Selepas diterjemah rakan rapatnya, 69 peratus rakan Instagram memilih D manakala 31 peratus lagi memilih L.

“Selain itu, mangsa juga membuat catatan di Facebook Wanna Quit Life I’m Tired,” katanya.

Mengulas lanjut, Ramkarpal memetik kes di Amerika Syarikat iaitu Michelle Carter, teman wanita kepada seorang lelaki yang membunuh diri.

Michelle telah didapati bersalah atas dakwaan membunuh teman lelakinya tanpa niat kerana menggalakan mangsa untuk mengambil nyawanya.

Tertuduh dijatuhkan hukuman penjara selama dua setengah tahun.

Ramkarpal yang juga adalah seorang peguam berkata, siasatan secara menyeluruh perlu dilakukan bagi mengetahui punca kematian remaja itu.

“Saya tidaklah mencadangkan tindakan seperti kes Michelle, namun saya menggesa agar siasatan menyeluruh dilakukan untuk menentukan punca kematian mangsa di Sarawak itu.

“Amatlah penting supaya kejadian ini tidak berulang lagi dan siasatan perlu dilakukan serta tidak menganggap ia sebagai kes yang terpencil,” katanya.

Ramkarpal berkata, memandangkan cubaan membunuh diri adalah satu kesalahan di negara ini, pihak yang membantu sesorang membunuh diri juga tidak harus dilepaskan.

“Saya menggesa pihak berwajib, terutamanya pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat akaun media sosial mangsa yang membunuh diri itu.

“Dengan mengklasifikasikan kejadian tersebut sebagai mati mengejut tanpa sebarang siasatan lanjut mungkin tidak sesuai,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");