Sukan Hari Ini

Berebut Nak Ganti Irfan

WALAUPUN baharu empat hari bekas ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim melepaskan jawatan, ‘kerusi panas’ itu bagaikan pisang goreng panas apabila Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menerima banyak permohonan untuk mengisi kekosongan jawatan berkenaan.

Menurut Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil, permohonan untuk menjadi ketua jurulatih bukan saja datang daripada jurulatih sendiri, malah juga melalui ejen.

Beliau bagaimanapun menyatakan setakat ini permohonan berkenaan masih diteliti dan belum lagi diproses kerana peletakan jawatan oleh Irfan itu masih baharu dan hangat.

“Setakat ini saya dah terima banyak permohonan daripada jurulatih ataupun ejen jurulatih untuk mengendalikan pasukan TFC.

“Ejen dan jurulatih itu datangnya dari luar Terengganu, namun begitu setakat ini kita belum membuat keputusan,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

Berdasarkan permohonan yang diterima PBSNT, jelas menunjukkan ramai jurulatih tempatan berminat untuk mengemudi pasukan naib juara Piala Malaysia musim lalu itu.

Rabu lalu, dalam mesyuarat khas PBSNT dan bedah siasat di pejabat persatuan itu, Irfan membuat keputusan mengejut dengan mengumumkan peletakan jawatan jurulatih skuad berkenaan serta merta atas dasar bertanggungjawab berikutan kemerosotan prestasi skuad itu termasuk ketika dimalukan Petaling Jaya (PK City) 3-5.

Berikutan kekalahan di laman sendiri kepada PJ City itu menyebabkan kira-kira 200 peminat setia skuad itu ‘naik minyak’ dengan mengadakan perhimpunan aman di luar pintu masuk utama stadium selepas perlawanan itu dengan mendesak PBSNT bertanggungjawab.

Susulan peletakan jawatan Irfan, PBSNT menamakan penolong jurulatih skuad itu, Nafuzi Zain sebagai pemangku ketua jurulatih yang turut dibantu dua penolong jurulatih, Mohamad Nik dan Kamaruddin Anuar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");