Sukan Hari Ini

‘Berhentilah Boikot Kami…

KUALA TERENGGANU: Hentikan boikot dan tolong datang stadium.

Ini rayuan dan permintaan pertahanan tengah Terengganu FC (TFC) kelahiran Montenegro, Igor Zonjic kepada peminat setia skuad itu.

Pemain yang pernah beraksi bersama kelab AC Milan dalam Liga Itali secara pinjaman pada 2014 itu berkata demikian menjelang pertembungan dengan Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini.

Bekas pemain skuad kebangsaan Montenegro bawah 19 dan 21 tahun itu juga mengharapkan peminat yang mengadakan protes pada 14 Mei lalu di luar pintu masuk utama stadium susulan kekalahan memalukan 3-5 kepada kepada Petaling Jaya City FC (PJ City) dapat melupakan insiden itu.

“Bertemu Selangor sudah pastinya kami ingin memburu kemenangan kerana perlawanan ini sangat penting bagi kami lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri.

“Oleh itu kami perlukan penyokong untuk datang ke stadium kerana mereka kekuatan kami, tolonglah datang semula dan sokong kami serta hentikanlah boikot, tanpa peminat yang ramai, kami begitu terasa,” kata Zonjic.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Shah Alam, skuad Penyu yang sebelum ini dibimbing Irfan Bakti Abu Salim tewas tipis 0-1 hasil jaringan bekas pemain TFC musim lalu, Mohd Faiz Nasir.

Skuad Penyu yang kini dibimbing pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain selepas Irfan meletak jawatan mengejut Rabu lalu susulan prestasi merudum pasukan sudah pasti mahu membalas dendam kekalahan lalu kepada skuad The Red Giants itu.

Mengulas lanjut, ‘kereta kebal’ skuad TFC itu berjanji untuk merantai barisan penyerang lawan yang sudah pasti diketuai penyerang import baharunya dari Nigeria, Ifedayo Olesegun.

“Saya tidak tahu sangat mengenai penyerang baharu skuad itu, tetapi saya sudah bersedia untuk mengekang pemain itu dan juga pemain lain daripada bergerak bebas dalam kawasan bahaya,” katanya.

Mengenai peletakan jawatan Irfan, Zonjic yang dipikat jurulatih itu sejak musim lalu mengakui begitu terasa dengan ketiadaan jurulatih berpengalaman itu lapor HMetro.

“Sudah tentu saya sedih dengan kehilangan beliau, tetapi inilah bola sepak semuanya tidak boleh dijangka, namun begitu kami akan memberi aksi terbaik pada setiap perlawanan kerana kami mahu menambah pungutan mata,” kata pemain berketinggian 1.86 meter itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");