Panasnya Hari Ini

Biar Orang Ramai Nilai Anwar Banduan Atau Tidak, Kata Hadi

Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini enggan “menilai” kedudukan Anwar Ibrahim sama ada pemimpin PH dan PKR itu seorang banduan atau tidak.

Ditanya mengenai isu berkenaan, Abdul Hadi berkata, beliau bukanlah orang yang sesuai untuk membuat penilaian.

“Terpulang kepada masyarakat untuk menilai adakah dia (Anwar) banduan atau tidak.

“Bukan saya yang akan nilai, orang ramai akan nilai,” kata Abdul Hadi.

Isu Anwar yang didakwa sebagai bekas banduan dibangkitkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan semasa berceramah untuk membantu calon Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam pilihan raya kecil Sandakan pada 8 Mei lalu.

Dalam ucapannya Takiyuddin membangkitkan persoalan sama ada rakyat mahu seorang bekas banduan seperti Anwar sebagai calon perdana menteri.

Jelas Takiyuddin, sabitan ke atas Anwar dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dan tidak lagi boleh dipersoalkan.

Presiden PKR itu dihukum penjara lima tahun pada 2015.

Pada 12 Mei, Malaysiakini melaporkan Takiyuddin tetap dengan pendiriannya berhubung perkara itu dan meminta pihak yang mendesaknya meminta maaf agar membuat semakan fakta kes.

Sementara itu ditanya mengenai isu sama hari ini Takiyuddin berkata beliau yakin akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis selepas ada kira-kira 10 laporan polis dibua ke atasnya setakat ini.

“Saya tak boleh nak komen tentang isu ini kerana sudah ada lebih kurang 10 laporan terhadap saya.

“Saya pasti akan dipanggil oleh pihak polis dan hanya akan berikan keterangan kepada pihak polis,” katanya.

Takiyuddin dan Abdul Hadi ditemui media sebelum majlis berbuka puasa anjuran PAS Pusat di De Palma Ampang hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");