Membawang Hari Ini

Black Hadiah Ibu Bapa Rumah

KUALA LUMPUR: Saat ini, dirinya antara artis yang sering menjadi pilihan penganjur persembahan kerana bakat seni dimiliki bukan kecil. Bersama rezeki yang diraih menerusi dunia seni suara, Black Hanifah, 31, mengaku semakin selesa menjalani kehidupan bersama keluarga.

Begitupun, semangatnya pernah pudar apabila seorang juri pertandingan mengatakan dirinya tidak mempunyai pakej sebagai penyanyi. Sedar dirinya bukan bergantung harap pada paras rupa, penyanyi Teman Pengganti ini pernah meletakkan titik noktah dalam dunia seni suara selama dua tahun akibat terlalu kecewa menelan penghinaan.

Namun, jika sudah namanya rezeki, ia memang tidak ke mana. Penyanyi yang pernah dihina dan dikritik ini mampu membina nama dan jenama sendiri dalam dunia hiburan tempatan.

Malah, Black atau nama sebenar, Mohd Hanifah Md Hanafiah mampu berkongsi kesenangan bersama ibu bapa, isteri, anak dan keluarga ketika pembabitannya dalam bidang seni suara memasuki usia sedekad, tahun ini.

Juara program realiti, Mentor 3 itu berkata, dia memang terasa hati dengan penghinaan juri terbabit. Malah, kata-kata pedasnya masih terngiang-ngiang di telinga, hingga ke hari ini.

“Bagaimanapun, apabila difikirkan kembali, penghinaan itulah yang membakar semangat saya untuk menjadi penyanyi. Biarpun pada mulanya saya kecewa dan tidak mahu lagi menyanyi, ibu bapa menjadi pendorong untuk saya memulakan langkah sekali lagi.

“Alhamdulillah, tahun ini genap 10 tahun saya bergelar penyanyi. Banyak impian saya sudah tercapai, malah saya mampu berkongsi kesenangan hidup bersama ibu bapa dan keluarga.

“Saya bersyukur dapat membina rumah buat ibu bapa di kampung halaman di Kedah, seperti mereka inginkan. Insya-Allah, rumah baharu untuk ibu bapa saya itu siap diduduki setibanya Ramadan,” katanya yang menyediakan sebuah kediaman mewah di Cheras untuk keluarganya, sebelum ini.

Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2009 itu berkata, dia juga mensyukuri rezeki yang diberikan apabila membeli dua kediaman untuk anaknya, daripada hasil pendapatan sebagai penyanyi.

“Rumah untuk anak-anak pun saya sudah sediakan, selain simpanan khas buat mereka. Bukan saya mahu memanjakan mereka, tetapi itulah tanggungjawab saya sebagai bapa.

“Saya mahukan kehidupan selesa buat anak-anak. Mungkin saya dahulu membesar dalam kehidupan yang agak susah. Jadi, saya anggap semua ini adalah rezeki anak-anak,” katanya.

Black berkata, impiannya kini adalah mengejar gelaran juara pada Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Saya memang idam untuk menjadi juara AJL. Sepanjang menyertai pertandingan itu, saya tidak pernah diangkat sebagai juara.

“Sasaran saya hampir tercapai apabila memenangi kategori Vokal Terbaik menerusi lagu Aku Rindu Sayang Kamu pada 2010, tetapi ia belum memuaskan hati.

“Saya juga pernah menang tempat kedua menerusi lagu Drama King dan Persembahan Terbaik melalui lagu Teman Pengganti, cuma gelaran juara AJL belum dikecapi. Itulah impian saya selama 10 tahun bergelar penyanyi,” katanya kepada BH Online.

Menyentuh kerjaya nyanyiannya, Black berkata, dia bukan mahu menghina wanita yang kuat membebel dan berleter apabila merakamkan lagu Pok Pet ciptaan Hazama, Omar K dan Mike Chan.

“Saya cuma mahukan kelainan dan keluar daripada kebiasaan lagu yang mengangkat kisah cinta, kasih dan sayang. Jadi, kali ini saya menampilkan kisah wanita yang suka membebel.

“Memang saya rimas apabila kena bebel oleh ibu, isteri atau kakak, tetapi apa yang mereka cakap, itulah perkara terbaik untuk si suami.

“Lirik lagu ini membayangkan golongan wanita kuat membebel dan banyak ‘songeh’. Ibu, kakak dan isteri saya juga suka membebel. Pada awal perkahwinan dahulu, saya naik angin apabila kena bebel dengan isteri. Bagaimanapun, selepas enam tahun, saya faham apabila dia berbuat begitu.

“Ia tidak lagi menimbulkan pergaduhan. Paling bosan pun, saya angkat kaki dan suruh isteri diam,” katanya berseloroh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");