Perak Hari Ini
Like

Bomba Perak Lancar Kempen Keselamatan Kebakaran Untuk Premis Hiburan

May 15, 2019
306 Views
0 Comments
2 minutes read
Bomba Perak Lancar Kempen Keselamatan Kebakaran Untuk Premis Hiburan

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak hari ini telah mengadakan pemeriksaan premis hiburan bersempena dengan Kempen Keselamatan Kebakaran yang telah dilancarkan dua minggu lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak, Azmi Osman berkata tujuan pemeriksaan ini dilakukan adalah bagi memastikan tahap keselamatan kebakaran di premis-premis hiburan yang berada di negeri Perak ini mengikut syarat- syarat yang telah ditetapkan.

“Sebanyak 66 buah premis yang beroperasi secara aktif berada di negeri Perak dan hasil pemeriksaan pada premis-premis tersebut, 89 notis telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang merangkumi 21 buah premis hiburan.

“Mereka diberikan satu tempoh yang tertentu untuk memperbaiki sistem kebombaan yg ada di premis hiburan mereka.

“Antara kesalahan dan kegagalan mereka adalah berdasarkan pada seksyen 2C iaitu pengalihan atau tidak terdapat alat kelengkapan kebakaran pasif atau aktif di dalam bangunan sebagai contoh tidak mempunyai jalan keluar dan tangga yang mencukupi, papan tanda keluar yang tidak berfungsi, peralatan memadam kebakaran yang tidak boleh digunakan dan juga pintu keluar dihalang oleh sesuatu hingga menyukarkan pelanggan untuk keluar apabila kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas mengadakan pemeriksaan premis hiburan di sebuah premis hiburan Enco Two, Ipoh, hari ini.

Ujarnya lagi, bagi premis yang telah dilakukan pemeriksaan, hampir kesemuanya berada dalam keadaan yang baik dimana premis hiburan tersebut mengikut segala syarat yang ditetapkan bagi sesebuah premis yang bercorakkan hiburan.

“Tindakan ini kita lakukan bukan hanya untuk hari ini malah akan dilakukan secara berkala demi memastikan keselamatan pelanggan terjamin dan pemilik premis perlu memastikan aspek-aspek keselamatan yang ditetapkan berjaya diikuti sebelum melakukan operasi,”katanya lagi.

Pada perkembangan sama, Azmi Osman turut menegaskan bahawa premis-premis hiburan sebagai contoh pusat karaoke perlu memastikan premis mereka berada pada tahap yang selamat untuk dikunjungi menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

Komen & Pendapat

Comments are closed.