Berita Hari Ini

Bos Ihsan Perdana Kisahkan Penglibatan Dengan 1MDB

Pengamal perubatan yang memainkan peranan utama dalam pemindahan RM42 juta ke dalam akaun bekas perdana menteri Najib Razak dikatakan terlibat dengan syarikat berkaitan 1MDB kerana pengalamannya dalam kerja kebajikan.

Perkara itu dimaklumkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd Dr Shamsul Anwar Sulaiman, 58, berkata dia menawarkan kepakarannya secara sukarela sejak bertukar menjadi doktor swasta pada 1998.

Ketika sesi pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah, Dr Shamsul berkata dia bermula dengan memberikan bantuan perubatan, ceramah kesihatan dan berkhatan di kampung kelahirannya.

Selepas itu, kata Dr Shamsul, dia terlibat dengan badan lain seperti Persatuan Ister-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Gabungan Wawasan Generasi Felda, Aman Malaysia dan Mercy Malaysia.

Selepas menyoal berhubung latar belakang kerjaya Dr Shamsul, Shafee berkata saksi itu dipilih sendiri oleh Najib sebagai pengarah eksekutif di 1MDB pada 2011 untuk program tanggungjawab korporat sosial (CSR).

“Saya dipanggil Najib pada 2010. Dia (Najib) minta saya bantu untuk kerja CSR, program-program yang saya sebutkan tadi, baiki rumah orang miskin, hantar imam dan ketua kampung menunaikan haji dan pelbagai lagi,” katanya.

Dr Shamsul berkata dia mengenali Najib sejak penghujung 1980an ketika Najib merupakan ketua pemuda Umno.

Shafee: Ramai ahli politik terlibat dalam kerja CSR anda. Dalam Bakti, dalam Umno, dan kemudian anda berjumpa Najib. Kenapa ahli politik penting untuk kerja CSR anda?

Dr Shamsul: Sebab saya fikir kebanyakan ahli politik melakukan kerja amal untuk membantu orang ramai dan tidak hanya berpolitik sepanjang masa.

Shafee: Anda mempunyai rangkaian kenalan dalam kalangan ahli politik untuk melakukan kerja CSR anda?

Dr Shamsul: Ya.

Shafee: Anda perlukan dana yang besar?

Dr Shamsul: Ya.

Shafee: Adakah mudah untuk memperoleh dana (bagi tujuan CSR)?

Dr Shamsul: Tidak mudah.

Dr Shamsul diminta untuk meninggalkan 1MDB dan menubuhkan syarikatnya sendiri – Ihsan Perdana Sdn Bhd – untuk mengelakkan konflik kepentingan. 1MDB selepas itu akan bekerjasama dengan Ihsan Perdana untuk kerja-kerja CSR.

Menurut Dr Shamsul, Ihsan Perdana dilantik sebagai rakan CSR untuk SRC International melalui surat bertarikh 3 Sept 2014, yang ditandatangani oleh pengarahnya Suboh Md Yassin dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Mahkamah juga dimaklumkan bahawa Dr Shamsul memberi kelulusan pemindahan RM42 juta ke dalam akaun bank milik Najib tanpa mengetahui pemilik akaun berkenaan.

Dia berkata dia tidak akan memberi kelulusan itu sekiranya tahu akaun berkenaan milik Najib.

Dr Shamsul juga berkata dia ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 2015 dan direman selama empat hari serta disoal siasat berulang kali berhubung transaksi melibatkan Ihsan Perdana.

Dia menambah bahawa pemindahan dana itu sah dengan menganggap bahawa Yayasan Rakyat 1Malaysia membiayai Ihsan Perdana.

Najib dibicarakan atas dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk menerima suapan RM42 juta untuk mendapatkan jaminan kerajaan bagi permohonan pinjaman RM4 bilion oleh SRC International kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

SRC International merupakan bekas anak syarikat 1MDB. -Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");