Perak Hari Ini

Chang Khim, Ramasamy Tidak Beradab – Armada Perak

IPOH: Tindakan dua Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CCC) DAP, Datuk Teng Chang Khim dan Dr P. Ramasamy yang melabelkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebagai tiada beza dengan pemimpin UMNO, adalah sesuatu tindakan yang tidak beradab.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak, Mohd. Hafez Mubin Salleh berkata mereka sepatutnya ‘melihat cermin’ kerana tindakan itu seolah-olah menggambarkan keperibadian mereka sendiri.

“Selaku pemimpin kepada kerajaan negeri yang telah dua penggal diberi kepercayaan oleh rakyat, sepatutnya tidaklah ‘bodoh’ untuk memilih perkataan yang beradab untuk menyuarakan pendapat terutamanya pada rakan seangkatan.

“Dan tidaklah pula ‘bodoh’ untuk mendapatkan maklumat terperinci atau pencerahan berhubung sesuatu kenyataan menteri dari pihak berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya serangan kepada Menteri Pendidikan oleh mereka itu seolah-olah tiada beza dengan serangan yang dibuat Parti Gerakan dan MCA berhubung isu sama.

Maszlee sebelum ini dikritik hebat Chang Khim dan Ramasamy berikutan kenyataan beliau yang mempertahankan kuota matrikulasi serta mempertikaikan tindakan majikan yang menetapkan syarat fasih bahasa Mandarin di negara ini.

Chang Kim yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Selangor menyifatkan Maszlee sebagai ‘bodoh’ sementara Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang mendakwa Ahli Parlimen Simpang Renggam itu tiada bezanya dengan pemimpin UMNO.

“Sikap seperti ini mirip dengan sikap angkuh beberapa pemimpin UMNO semasa sebelum Pilihanraya Umum Ke-14 lalu yang tunjuk jaguh pada kelompok tertentu hingga jadi ‘kaki pukul’. Tak kira lawan atau kawan.

“Apabila tiba masa untuk turun ke medan, diserang lawan bertubi -tubi di kiri dan kanan. Ketika itu mula menagih bantuan. Kawan pula serik menghulurkan dan akhirnya kalah peperangan! Moga jadi teladan,” ujarnya.

Mohd Hafez turut memetik kata-kata Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang yang menyebut bahawa anggota dalam kalangan Pakatan Harapan harus menjaga disiplin dan mengelakkan sebarang pergeseran sesama sendiri.

“Jika tidak, Malaysia Baru tidak akan berjaya. Ia hanya akan membawa balik Najib Abdul Razak, Jho Low dan rentetan skandal mega kleptokrat yang akan menyebabkan Malaysia menjadi negara gagal, penyangak dan kleptokrasi,” petiknya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");