Sukan Hari Ini

Chelsea Dapat Berita Buruk

LONDON: Chelsea berdepan tamparan menjelang final Liga Europa menentang Arsenal, awal pagi Khamis ini selepas tonggaknya N’Golo Kante dijangka tersisih untuk aksi di Baku selepas dipalit kecederaan lutut ketika latihan.

Kante yang bergelut untuk kembali cergas difahamkan terseliuh di bahagian lutut ketika menjalani sesi latihan, minggu lalu dan meninggalkan padang dengan kesakitan.

Staf perubatan kelab pantas menilai tahap kecederaan yang dialaminya tetapi berdasarkan penelitian awal, ia tampak tidak begitu meyakinkan.

Pemain tengah Perancis itu terlepas dua perlawanan terakhir Chelsea selepas mengalami kecederaan hamstring ketika menewaskan Watford, bulan ini tetapi proses pemulihannya pantas apabila kembali berlatih pada minggu lalu.

Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri yakin pemenang Piala Dunia itu mampu cergas sepenuhnya bagi aksi menentang Arsenal tetapi khabar buruk terbaru itu membuatkan pengendali dari Itali itu kekurangan pilihan dengan hanya Ross Barkley, Jorginho dan Mateo Kovacic boleh diturunkan.

Kante bukan satu-satunya pemain utama kelab yang tersisih bagi aksi final berkenaan apabila Antonio Rudiger, Callum Hudson-Odoi dan Ruben Loftus-Cheek turut berdepan masalah sama.

Perlawanan final di ibu negara Azerbaijan itu mungkin menjadi perlawanan terakhir Sarri bersama Chelsea selepas beliau kuat dikaitkan dengan kepulangan semula ke Serie A untuk mengendalikan juara Itali, Juventus.

Pengendali kelahiran Itali itu bergelut untuk menanam falsafah bola sepaknya pada musim pertamanya di Stamford Bridge dan pertahanan, Marcos Alonso mengakui tempoh adaptasi itu memberi bosnya tekanan.

“Ia tidak mudah,” kata Alonso. “Pengurus tidak sama dan memiliki pandangan dan taktik yang berbeza. Beliau mahu mengubah cara kami bermain. Ia tidak pernah mudah pada tahun pertamanya, untuk datang ke negara baharu, liga baharu, bola sepak baharu dan budaya yang baharu.

“Banyak perkara yang berbeza. Pemain-pemain juga masih belajar. Beliau juga bukan pemain jadi banyak yang beliau belajar pada tahun ini. Beliau berbeza tetapi pada akhirnya, kami perlu bersikap profesional dan melaksanakan apa saja tugasan yang diberikan kepada kami.

“Kami sudah bekerja keras dan melakukan tugas yang hebat untuk layak ke Liga Juara-Juara. Ia tahun yang sukar tetapi bagus, dan kini kami mempunyai peluang yang besar untuk memenangi trofi.” – AGENSI

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");