Perak Hari Ini

CUEPACS Mohon Kerajaan Naikkan Gaji Penjawat Awam

IPOH: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyeru agar kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan menaikan gaji kakitangan awam di negara ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata gaji penjawat awam yang sedia ada ini tidak mampu menampung kos sara hidup yang kian mencabar.

Katanya, sistem saraan mereka juga tidak disemak sejak hampir 17 tahun.

“Sudah tiba masanya kerajaan dapat memulakan siri perbincangan dan libat urus dengan CUEPACS untuk kita melihat supaya sistem saraan penjawat awam yang baharu akan lebih menampakkan kemampuan pekerja mengharungi kos sara hidup ini.

“Ini penting kerana kita tidak mahu melihat negara ini berada dalam keadaan tidak harmoni, disebabkan keadaan pekerja di sektor awam yang menerima upah tidak setimpal dengan produktiviti mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas menyempurnakan Sambutan Hari Pekerja CUEPACS 2019 di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Pengerusi CUEPACS Perak, Zainal Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional Perak A.Sivanesan; dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Terdahulu, berucap dalam majlis berkenaan, Azih berkata hasil kajian ilmiah institusi-institusi pendidikan negara, kadar gaji yang dibayar kepada penjawat awam hanya berada pada tahap 35 peratus, berbanding dengan produktiviti mereka.

Ujarnya kemakmuran negara hari ini tidak bermakna sekiranya kuasa beli rakyat masih lagi lemah, disebabkan faktor ekonomi yang tidak menentu.

Katanya kerajaan harus bertegas dalam soal menangani masalah kos sara hidup demi kesejahteraan rakyat.

Dalam majlis sama, Kulasegaran berkata walaupun isu gaji kakitangan awam itu terletak pada bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam namun beliau akan tetap membawanya kepada pengetahuan Perdana Menteri.

Pada Sambutan Hari Pekerja CUEPACS 2019 yang dihadiri sekitar 4,000 orang penjawat awam itu, turut diadakan juga majlis penyampaian anugerah kepada 10 penerima.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana CUEPACS.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");