Berita Hari Ini

Dana Tabung Harapan Malaysia Akan Diguna Bayar Hutang 1MDB

PUTRAJAYA: Dana Tabung Harapan Malaysia (THM) berjumlah RM203.2 juta akan digunakan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Akaun Amanah THM Bil 1/2019 pada 24 April lalu.

“Mesyuarat itu memutuskan bahawa kesemua dana dalam THM ini akan digunakan bagi melunaskan sebahagian hutang 1MDB yang berjumlah RM1.7 bilion bagi 2019.

“Walaupun dana THM ini tidak mungkin boleh melangsaikan semua hutang 1MDB sebanyak RM51 bilion, THM akan kekal menjadi simbol semangat taat setia dan patriotisme rakyat Malaysia untuk melangsaikan hutang negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

THM ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 30 Mei 2018 untuk menerima wang derma dan sumbangan daripada mana-mana orang perseorangan dan syarikat bagi membantu kerajaan menangani isu hutang negara.

THM ditutup pada 14 Januari lalu dengan kutipan keseluruhan sebanyak RM202.7 juta.

Guan Eng berkata pelaksanaan pelaburan tetap yang ditadbir Jabatan Akauntan Negara dan faedah pelaburan yang diterima sehingga 31 Mac 2019 berjumlah RM575,342.31 menjadikan jumlah terkini akaun amanah THM sebanyak RM203.2 juta.

Katanya, sebelum ini, kerajaan memaklumkan mengenai penubuhan Jawatankuasa Akaun Amanah THM yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi memutuskan penggunaan dana akaun amanah itu mengikut tatacara yang termaktub dalam arahan amanahnya iaitu bagi pembayaran hutang Kerajaan Persekutuan dan pembayaran balik yang perlu dilakukan bagi tujuan akaun amanah itu saja.

“Ini adalah supaya keputusan berkaitan penggunaan dana THM dilakukan secara profesional dan telus,” katanya.

Guan Eng berkata kerajaan sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberikan sumbangan kepada THM.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");