Berita Hari Ini

Dasar Pandang Ke Timur Masih Relevan Di Abad Ke-21, Kata Dr M

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkannya pada 1982 masih relevan di abad ke-21 dalam pembentukan pemimpin masa depan.

Mahathir berkata nilai-nilai murni rakyat Jepun dan Korea Selatan seperti disiplin, penekanan kepada kualiti, mempraktikkan nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian, keutamaan kepada kehidupan bermasyarakat dan kesetiaan kepada negara adalah resipi kejayaan 2 negara maju itu.

“Walaupun hampir 37 tahun namun masih relevan hingga hari ini,” kata Mahathir di pelancaran Sekolah Pemimpin Masa Depan (MFLS) di Universiti Malaya hari ini.

“Kejayaan kedua-dua negara ini boleh dijadikan contoh dan teladan kepada Malaysia dan seterusnya dibudayakan bagi mencapai matlamat pembangunan negara.”

Mahathir berkata asas sosial dan kebudayaan menjadi teras pembentukan budaya kerja, selain semangat patriotik yang menebal dalam diri.

Beliau memberi contoh ketelitian pekerja di Jepun dalam melaksanakan tugasnya, dan menjelaskan budaya “teliti” itu sebenarnya telah sebati dalam kehidupan harian mereka.

Rakyat Jepun juga dikatakan mempunyai sifat malu yang amat tinggi, sehingga mereka malu jika dilihat malas bekerja dan malu jika kerja yang mereka lakukan tidak menjadi.

“Nilai peribadi ini menunjukkan mereka sentiasa berusaha memastikan kesempurnaan dan kejayaan dalam tugas. Inilah hasil didikan nilai-nilai murni dan pembentukan sahsiah diri yang telah diterap sejak kecil lagi,” katanya.

Mahathir berkata kerajaan akan cuba terapkan nilai-nilai itu menerusi MFLS bagi membentuk pemimpin masa depan yang mempunyai nilai keperibadian yang tinggi.

“Apa yang kita corakkan kepada anak muda kita pada hari ini bakal menjamin masa depan negara,” katanya.

MFLS adalah suatu program baru yang dihasilkan untuk melahirkan pemimpin muda yang boleh menyumbang sebagai rakan strategik kepada pembangunan negara.

Program baru itu dirangka secara holistik, menggabungkan kegiatan berimpak tinggi dalam dan luar bagi membawa keluar potensi anak muda terbabit.

Program menyasarkan mereka berusia antara 15 dan 17 tahun.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");