Berita Hari Ini

Dugaan Hari Pertama Ramadan

KUALA LUMPUR: “Memang ada barang berharga, namun nyawa lebih berharga. Alhamdulillah, semuanya selamat dan saya anggap ini adalah dugaan di bulan Ramadan,” kata Mohamad Adam Lau, 60, penyewa sebuah rumah yang hangus dalam kebakaran di Jalan Abdullah, Bangsar, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, rumah papan yang turut dijadikan pejabat dan tempat tinggal pekerja itu musnah 100 peratus.

Mohamad Adam berkata, ketika kejadian dia berada di Sentul dan dimaklumkan tentang kejadian oleh pekerjanya.

“Saya bergegas pulang dan sebaik tiba mendapati api sudah marak, tiada barang yang boleh diselamatkan lagi.

“Ada beberapa barang seperti komputer dan perabot dalam rumah, namun, apa yang penting adalah semua pekerja selamat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Adam berkata, dia reda dengan kejadian itu dan menerimanya sebagai dugaan.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai PKPgB Hamid Daud berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memadamkan kebakaran lapor HMetro.

“Pihak kami menerima panggilan pada 12.05 tengah hari dan anggota dari BBP Pantai dibantu BBP Seputeh, Hang Tuah dan Hartamas dengan kekuatan 47 anggota bergegas ke lokasi.

“Keadaan angin dan cuaca panas selain binaan rumah daripada kayu menyebabkan api cepat merebak. Kebakaran menyebabkan rumah berkenaan musnah 100 peratus.

“Bagaimanapun, maklumat yang kami terima dari penyewa rumah berkenaan memaklumkan semua pekerjanya selamat yang mana lapan pekerja sudah keluar ketika waktu rehat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");