Berita Hari Ini

‘Dulu Tersisih Kini Ketua Polis Negara’

SHAH ALAM – Kira-kira empat tahun lalu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang merupakan Timbalan Pengarah Cawangan Khas telah diarahkan berpindah ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Ogos 2015 atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

Bagaimanapun, Sinar Harian melaporkan bahawa tindakan yang dikenakan terhadap pegawai kanan polis yang sudah berkhidmat selama 37 tahun itu dipercayai ada kaitan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kelantangan beliau mengenai kesilapan yang dilakukan oleh pentadbiran terdahulu membuktikan bahawa perjuangannya itu selama ini tidak sia-sia.

Abdul Hamid menjadi perhatian pada 2015 apabila beliau tampil kepada media dan mendakwa ada pihak tertentu yang menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1MDB, selain mendesak siasatan dibuat secara telus.

Beliau kemudian menerima arahan berpindah ke JPM dan dalam masa yang sama telah menerima cemuhan daripada pelbagai pihak sehingga ada yang mengatakan dirinya adalah musuh utama negara pada ketika itu.

Sementara itu, isteri beliau, Datin Seri Nor Azrin Marzuki yang juga bekas wartawan Sinar Harian dan Utusan Malaysia kecewa dengan ketidakadilan yang berlaku terhadap suaminya sehingga sanggup meletakkan jawatan sebagai pemberita dalam tempoh 24 jam.

Abdul Hamid yang merupakan anak kepada seorang konstabel polis, Allahyarham Bador Ijoh, kemudian membuat keputusan untuk bersara awal dan pulang ke kampung halaman di Rembau, Negeri Sembilan untuk menjadi seorang petani.

Selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya ditumbangkan oleh Pakatan Harapan (PH), suasana dalam negara berubah apabila tindakan mula diambil terhadap pihak yang terlibat dalam kes 1MDB.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah memanggil semula Abdul Hamid dan diberikan kepercayaan untuk kembali ke PDRM dan dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara bagi menggantikan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang bersara pada Mac 2019.

Abdul Hamid dilahirkan pada 7 Ogos 1958 di Kuala Lumpur dan mempunyai seramai sembilan adik-beradik sementara ibunya ialah seorang suri rumah berketurunan Cina.

Selepas menamatkan persekolahan, beliau kemudian bekerja sebagai pelayan dan penyambut tetamu di sebuah hotel di Kuala Lumpur dari 1977 sehingga 1979.

Beliau mula menyertai PDRM sebagai Inspektor Pelatih pada 4 November 1979 sebelum ditempatkan di Cawangan Khas Bukit Aman bermula 1980 hinggalah 1996.

Selepas memegang pelbagai jawatan beliau dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 pada 2009.

Semalam, Dr Mahathir mengesahkan Abdul Hamid dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu dan pelantikan itu mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");