Berita Hari Ini

Ezam Mahu Tubuh Parti Anti Rasuah

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor, hari ini menghantar permohonan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mendaftar sebuah parti politik baharu yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebuah negara anti rasuah.

Mohamad Ezam yang juga Presiden Penaja, berkata parti yang cuba didaftarkan dengan nama Parti Negara atau NEGARA itu, apabila diluluskan pendaftarannya kelak, akan berjuang ke arah sebuah negara yang pemimpin dan rakyatnya menjadikan rasuah sebagai musuh negara.

“Kami harap ROS di bawah kerajaan baharu akan meneliti permohonan ini dengan wajar dan adil serta meluluskan untuk kami menubuhkan parti ini, sesuai dengan peruntukan undang-undang,” katanya kepada media selepas menghantar permohonan itu kepada ROS di sini.

Hadir sama, ahli jawatankuasa penaja parti itu, Timbalan Presiden, Dr Ng Rui Wei; Naib Presiden, S Gobi Krishnan dan Mohd Hakimie Zainal Abidin, Setiausaha Agung, Abd Ghani Haroon; Bendahari, Tan Chee Seng serta Ketua Penerangan, Syed Nazarudin Syed Aziz.

Mohamad Ezam, yang juga bekas pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Hisbah Centre for Reform (HISBAH), berkata ahli parti itu terdiri daripada berbilang kaum serta bebas, tanpa ada hubungan dengan mana-mana gabungan parti politik sedia ada.

Bagaimanapun, katanya, NEGARA menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengambil pelbagai langkah pembaikan bagi membendung rasuah.

“Maka dengan itu, kami meminta Dr Mahathir meneruskan tugas memimpin negara sebagai Perdana Menteri sehingga agenda perubahan anti rasuah benar-benar lengkap dalam tempoh satu penggal pentadbiran atau minimum tiga tahun.

“Usaha memerangi rasuah tidak boleh dilakukan setengah jalan atau kita akan menghadapi kemungkinan digagalkan oleh pihak berkepentingan yang rasuah,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");