Sukan Hari Ini

Farizal Digantung 5 Perlawanan

KUALA LUMPUR: Penjaga gol Selangor, Farizal Harun dijatuhi hukuman gantung sebanyak lima perlawanan selepas didapati bersalah menumbuk pemain PKNP FC, Mohamad Al Fateh Afandi dalam aksi Liga Super pada 18 Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Baljit Singh Sidhu berkata pemain berkenaan turut didenda sebanyak RM5,000 selepas didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM.

“Beliau dijatuhkan hukuman penggantungan sebanyak lima perlawanan selain denda sebanyak RM5,000 yang dikehendaki dijelaskan dalam masa (14) hari waktu bekerja daripada tarikh penerimaan keputusan ini.

“(Farizal) turut diberi amaran keras dengan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Penggantungan itu membabitkan aksi Liga Super, Selangor menentang Kuala Lumpur 15 Jun ini, Johor Darul Ta’zim (25 Jun), menentang FELDA United dan Perak, kedua-duanya akan ditentukan tarikh selepas ini.

Sementara itu, pegawai pasukan Sarawak, Hamzah Ibrahim menerima hukuman berat apabila digantung selama setahun selain didenda sebanyak RM20,000 membabitkan dua kes berasingan.

Beliau dapati melanggar Artikel 59 dan Artikel 62 Kod Tatatertib FAM akibat daripada tindakannya berkelakuan yang menyinggung dan fair play serta ugutan semasa dan selepas perlawanan.

Kesalahan pertama dilakukan pada aksi Liga Perdana, Sarawak menentang UiTM FC, 21 April lalu dan menentang PDRM pada 27 April, kedua-duanya di Stadium Negeri, Kuching.

“(Kes pertama) Penggantungan enam bulan daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak dan semua berkaitan dengannya berkuatkuasa mulai 30 Mei sehingga 29 November ini.

“(Kes kedua) penggantungan enam bulan daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang berkaitan dengannya berkuatkuasa mulai 30 November 2019 sehingga 29 Mei 2020,” katanya.

Dalam kes berasingan, Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) didenda sebanyak RM25,000 kerana tindakan penyokong membakar mercun dan roket sebelum dan selepas aksi Liga Super menentang Pahang di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada 14 Mei lalu.

“Persatuan melanggar Artikel 70.1 Kod Tatatertib FAM akibat perlakuan penyokong yang didapati membakar mercun roket sebelum dan semasa dalam perlawanan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");