Membawang Hari Ini

Finas Teliti Cadangan

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional (Finas) tidak menolak cadangan beberapa penggiat seni muzik tempatan yang mahu industri muzik turut berada di bawah perbadanan itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Idham Nadzri berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang meminta Finas membantu industri muzik tempatan kerana umumnya muzik juga termasuk di bawah seni kreatif seperti filem.

“Pelbagai cadangan yang diterima termasuk mewujudkan satu entiti baharu di bawah Finas yang dikhususkan untuk mengurus isu berkaitan muzik tempatan. Ada juga mencadangkan muzik dan filem disatukan di bawah perbadanan sama,” katanya.

Perkara ini turut diusulkan beberapa penggiat muzik tempatan yang hadir dalam satu pertemuan eksklusif bersama Ahmad Idham di pejabatnya, baru-baru ini, lapor Harian Metro.

Dalam pertemuan itu, antara penggiat muzik yang hadir ialah Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez; penyanyi popular Aishah; penyanyi Blues Gang, Ito dan pemain bass Search, Nasir Daud.

Hadir sama, Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia, Datuk Razali Idris yang menjadi ‘suara’ mereka untuk membawa cadangan ini kepada Finas dan Parlimen.

Antara yang dibincangkan ialah mekanisme sesuai yang boleh digunakan untuk mengurus isu royalti pemuzik tempatan.

Sementara itu, Razali berkata, beliau difahamkan setakat ini badan pengutip royalti sedia ada tidak berupaya menyelesaikan banyak isu berkaitan tuntutan pemuzik.

Ia termasuk dengan laporan terbaru mengenai Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) tidak lagi dibenarkan mengutip atau mengagih royalti muzik kelmarin.

Harian Metro semalam melaporkan Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) membatalkan PRISM sebagai badan perlesenan berkuat kuasa 3 April lalu.

Laporan itu turut menyebut, fungsi PRISM bagi menjalankan aktiviti kutipan dan pengagihan royalti muzik bagi kategori penyanyi dan pemuzik rakaman dibatalkan.

Razali berkata, dia difahamkan ada badan pengutip royalti yang terpaksa membekukan lebih RM16 juta hasil kutipan atas pelbagai isu.

“Industri muzik ada terlalu banyak badan yang mengutip royalti. Sepatutnya hanya satu badan yang menguruskannya,” katanya.

Mewakili artis dan pemuzik, Nasir berkata, selama ini tiada mekanisme berkesan untuk menuntut kembali hak artis seperti mereka.

Dia menyedari royalti mereka ada jutaan ringgit di dalam badan royalti sedia ada tetapi dimanipulasi banyak pihak untuk kepentingan peribadi.

“Saya harap selepas penubuhan sebuah jawatankuasa baru di bawah Finas, pengurusan berkaitan isu royalti lebih sistematik,” katanya.

Aishah pula mencadangkan sebuah perbadanan khas diwujudkan untuk mengurus isu industri muzik kerana mendakwa royalti hanya satu dari pada banyak isu lain yang perlu diurus.

Ia termasuk isu kebajikan, pendidikan dan pembangunan industri muzik tempatan.

“Kalau boleh diberikan kepada industri filem, kenapa tidak diberikan juga kepada industri muzik?” katanya.

Hasil perbincangan, Ahmad Idham mencadangkan supaya satu jawatan kuasa dibentuk dengan lantikan cadangan dibuat pihak penggiat muzik untuk dibawa dalam perbincangan peringkat kementerian.

Katanya, pembentukan jawatankuasa lebih sesuai berbanding pembentukan sebuah perbadanan kerana ia membabitkan faktor masa dan dana yang berbeza.

Apatah lagi, jika adanya jawatan kuasa itu, ia boleh bergerak di bawah Finas mengikut peruntukan akta sedia ada.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");