Perak Hari Ini

Geng Plastik Hitam Jangan Cabar Peraturan – EXCO

IPOH: Kerajaan Perak menasihatkan peniaga agar tidak mencabar peraturan dengan menjual makanan kepada penganut Islam yang tidak berpuasa sepanjang Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi, berkata semua pihak terutama peniaga makanan dalam kalangan orang Islam perlu patuh terhadap peraturan yang telah termaktub di dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri.

Menurutnya, tindakan peniaga yang menjual makanan dalam plastik hitam bertujuan agar tidak dikesan pihak berkuasa kepada mereka yang tidak berpuasa, sehingga digelar `geng plastik hitam’, adalah tindakan biadap dan tidak menghormati kemurnian serta kesucian Ramadan.

“Ada peruntukan mengikut Enakmen Jenayah Syariah yang melarang jualan makanan pada waktu siang oleh premis yang diusahakan oleh orang Islam.

“Semua pihak perlu menghormati enakmen itu, jangan sesekali mencabarnya hingga mencemarkan kesucian bulan Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di sebuah restoran nasi kandar di bandar raya ini yang dikesan menjual makanan kepada orang Islam tidak berpuasa menerusi bungkusan dalam plastik hitam, pada hari kedua Ramadan.

Asmuni berkata, serbuan JAIPk itu dilakukan di premis yang sudah sering menjalankan operasi `geng plastik hitam’ namun peniaga terbabit masih tidak mengendahkan nasihat biarpun beberapa kali tindakan penguatkuasaan dilakukan setiap kali Ramadan.

“Kerajaan tidak menghalang kepada mana-mana pihak untuk berniaga, tetapi perlulah mengikut peraturan yang telah ditetapkan terutama di bulan Ramadan.

“Misalnya, sepanjang Ramadan ini mereka sepatutnya hanya membuka premis pada waktu petang dan tidak menjual makanan kepada mereka yang tidak berpuasa,” katanya.

Beliau berkata, tindakan `geng plastik hitam’ itu sebenarnya hanya dalam kalangan segelintir orang Islam membabitkan kes terpencil dilakukan oleh peniaga yang tidak menghormati undang-undang yang diperuntukkan dan kesucian Ramadan, dan tidak berleluasa di negeri ini.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");