Perak Hari Ini

Harga Stabil Menjelang Raya

TANJUNG RAMBUTAN: Permintaan tinggi terhadap barang basah dan mentah menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti menyaksikan pengguna berpuas hati dengan harga yang ditetapkan oleh peniaga.

Tinjauan di Pasar Awam Tanjung Rambutan, hari ini mendapati peniaga-peniaga di sini masih mengikut harga asal dan tidak mengalami peningkatan yang luar biasa.

Fazlina Hamid, 47, berkata beliau sering mendapatkan bekalan barangan basah dan mentah di pasar tersebut kerana harga di situ mengikut apa yang ditetapkan.

“Kita sebagai pengguna perlu bijak memilih, bandingkan harga di tempat lain juga dan bagi saya harga yang ditetapkan oleh peniaga-peniaga di sini masih berada di tahap yang baik.

“Saya akui, sebagai seorang pengguna saya juga pernah menghadapi peniaga-peniaga yang tidak ikhlas iaitu dengan mengambil kesempatan menaikkan harga barang dengan sesuka hati dan ini sepatutnya tidak terjadi kerana ia membebankan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi temubual di Pasar Awam Tanjung Rambutan hari ini.

Selain itu, Rafidah Hassan,52, berkata beliau sering mendapatkan bekalan ayam di sini kerana harga yang dijual disini boleh dikatakan berpatutan.

“Ayam disini dijual dengan harga RM8.50 sekilo bagi kategori ayam standard dan pada saya ia berpatutan jika dibandingkan dengan sesetengah tempat yang menaikkan harga RM9.00 dan RM10.00 bagi sekilo.

“Saya tak nafikan sebelum ini ada memang berlaku kenaikan harga pada sesetengah barang seperti telur disebabkan kekurangan bekalan, akan tetapi sekarang harganya sudah kembali stabil,”katanya.

Sementara itu, Affandi Omar, 36, yang juga peniaga sayur di pasar tersebut berkata setakat ini pembekal masih lagi memberikan harga yang berpatutan kepadanya dan dia menjualnya dengan harga yang ditetapkan.

“Sayur yang saya peroleh masih pada harga yang terkawal dan pembekal masih memberikan bekalan yang cukup buat saya setiap kali menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

“Jangan salahkan peniaga jika mereka menaikkan harga jualan kerana ia bergantung pada harga pembekal atau pemborong, sebagai contoh bila kami membeli dengan harga yang mahal daripada pemborong, takkan kami nak jual murah kepada pengguna.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Intergrasi Nasional dan Sumber Manusia, A. Sivanesan telah melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa bagi Negeri Perak di sini.

Difahamkan tempoh (SHMMP) Hari Raya Puasa tahun ini lebih panjang iaitu 30 hari berbanding 15 hari sebelum ini dan membabitkan 24 jenis barangan berbanding 21 sebelum ini.

Antara barangan yang berada dalam senarai adalah ayam, telur, ikan kembung, selayang, selar serta sayur-sayuran seperti kacang panjang,kubis,tomato dan banyak lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");