Berita Hari Ini

Harussani: Saya Tak Nampak Islam Ditekan Bawah PH

Mufti Perak Harussani Zakaria tidak sependapat dengan rakan sejawatnya dari Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkaitan kedudukan Islam di negara ini.

Harussani berkata kedudukan Islam di Malaysia masih terpelihara walaupun kerajaan bertukar.

“Saya tidak nampak ada tekanan terhadap Islam pada waktu ini, saya tidak nampak ada sekatan kepada gerakan Islam.

“Tetapi kalau maklumat tidak sampai kepada saya, saya tidak tahu.

“Setakat ini saya tidak nampak dengan ketara Islam tergugat di bawah kerajaan baru,” beliau dipetik sebagai berkata kepada FMT.

Harussani diminta mengulas sejauh mana kedudukan Islam dipertahan bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, kata Harussani, Islam harus dikembangkan lagi, khususnya dalam bidang pendidikan.

“Bukan hanya tahu sembahyang, puasa sahaja, tetapi kefahaman tentang falsafah Islam itu sendiri perlu ditambah,” katanya.

Asri pada 29 April lalu menyatakan tidak puas hati dengan penahanan penggiat NGO Islam Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu dan mendakwa umat Islam dibuli.

“Suara-suara mempertahankan Islam sukar kedengaran dalam kalangan yang memimpin pentadbiran hari ini, melainkan jumlah kecil.

“Apakah ini satu keadilan? Realiti ini menjadikan rakyat makin akur bahawa Islam berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat di bawah pentadbiran hari ini,” katanya.

Terdahulu pada hari sama, beliau menulis di Facebook dengan berkata banyak pihak merasakan Islam semakin terancam bawah pentadbiran sedia ada.

Mengulas mengenai penahanan penceramah Zamri yang didakwa menghina Hindu, Harussani memberi pandangan secara umum.

“Jangan mencaci, menghina agama lain kerana dari segi syarak pun kita tidak dibenarkan mencaci agama lain. Apabila kita caci agama lain akan timbul orang yang caci agama kita balik. Itu akan timbul perpecahan.

“Nabi tidak benarkan kita caci agama lain dalam mengembangkan Islam.

“Kalau dia mahu menceritakan secara peribadi perbezaan agama, itu pendapat dia, asalkan tidak mencaci agama. Cuma beri pendapat kenapa dia masuk Islam kerana tidak puas hati dengan agama sebelum itu. Itu tidak ada masalah, sebab itu pendapat dia.

“Tetapi kalau dia secara terbuka pergi hina dan caci agama yang dia tinggalkan itu tidak boleh,” katanya sambil menegaskan ia tidak ditujukan khusus kepada mana-mana individu.

Katanya beliau tidak mengetahui isu sebenar melibatkan Zamri.

Harussani dan Asri terkenal sebagai dua ahli agama yang sering berbeza pendapat.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");