Perak Hari Ini

JOIN Beri Dana Bantu Pembangunan Perlabuhan Di Bagan Datuk

IPOH: Sebuah syarikat badan pelaburan kerajaan Jepun (JOIN) telah menyatakan hasrat untuk memberi dana kepada kerajaan negeri Perak bagi melakukan ‘feasibility studies’ bagi membantu pembangunan perlabuhan di Bagan Datuk.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, hasrat itu telah disampai oleh Duta Besar Jepun, Dr Makio Miyagawa yang telah melakukan kunjungan hormat pada hari ini.

“Saya telah menerangkan kepada beliau bahawa kerajaan negeri telah pun berunding dengan sebuah syarikat konsultan untuk menentukan dan mengenalpasti keperluan bagi sesebuah perlabuhan untuk dibangunkan.

“Hasil daripada kajian tersebut akan disampaikan kepada pihak JOIN untuk memulakan ‘feasibility studies’ sebelum membangunkan perlabuhan tersebut di Bagan Datuk.

“Pihak kerajaan negeri sememangnya sentiasa berusaha keras untuk memajukan kawasan yang terpinggir seperti di Bagan Datuk dan juga di beberapa daerah di Manjung dan Beruas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Jepun, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Ujarnya Ahmad Faizal lagi, hasil pertemuan dua pihak itu turut membincangkan mengenai ‘retirement village’ yang akan dibangunkan di Ulu Slim nanti.

“Pihak pelabur Jepun sudah tidak sabar untuk menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri untuk memulakan projek tersebut, akan tetapi pihak kerajaan negeri telah mengambil pendekatan untuk berhati-hati dan membuat lebih banyak perbincangan lanjut.

“Ini untuk memastikan kepentingan kerajaan negeri dan rakyat Perak terbela dan saya tidak mahu pembangunan ini hanya memberi keuntungan kepada syarikat luar sahaja,” katanya lagi.

Terdahulu, kerajaan negeri Perak juga telah merancang untuk membangunkan semula Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, dan barisan Exco telah diberikan taklimat oleh pihak swasta yang akan membangunkan kawasan tersebut dengan kerjasama Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) serta Kementerian Pengangkutan Malaysia.

“Dalam perjumpaan tadi juga, Dr Makio juga telah menyampaikan kepada saya, kemungkinannya Mitsui Outlet daripada Jepun akan membuka cawangannya di sini sejajar dengan pembangunan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah,” tambah Ahmad Faizal lagi.

Pada perkembangan sama, Ahmad Faizal juga berharap segala perbincangan yang dilakukan hari ini dapat memberikan manfaat yang baik dan dapat dimulakan dengan secepat mungkin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");