Perak Hari Ini

Kebersihan Dan Keselamatan Makanan Di Bazar Ramadan Harus Dipantau- MB

TAPAH: Kebersihan dan keselamatan dalam mengendalikan makanan perlu dititikberatkan oleh peniaga-peniaga terutamanya kepada mereka yang berniaga di Bazar Ramadan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kegagalan segelintir kecil peniaga menjalankan tanggungjawab menjaga kebersihan dan keselamatan dalam menyediakan makanan merupakan satu kesalahan berat dan perlu diambil tindakan, ini berikutan terdapat beberapa kes keracunan makanan yang menyebabkan kematian telah dicatatkan.

“Saya telah dimaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri sentiasa bekerjasama dengan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menjalankan pemeriksaan premis dan taklimat kepada penjaja di bazar-bazar Ramadan bagi memastikan ia selamat untuk dijual kepada pembeli.

“Kerjasama seperti ini amat baik dan harus diteruskan dalam usaha untuk membendung kejadian yang tidak dikehendaki dari berlaku kepada anak-anak serta saudara terdekat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Operasi Keselamatan Makanan Sempena Bulan Ramadan Peringkat Negeri Perak anjuran Jabatan Kesihatan Perak di Dewan Merdeka Tapah, hari ini.

Ujarnya lagi, disebalik kerjasama pihak berkuasa, perkara yang paling penting adalah daripada pihak penjaja dan peniaga makanan itu sendiri dalam menjaga kebersihan bagi mengelakkan sebarang masalah terjadi.

“Kerajaan boleh mengambil tindakan undang-undang, tetapi peniaga juga mestilah memainkan peranan mereka, tiada yang akan lebih penting daripada mengelakkan bencana keracunan makanan daripada berlaku, apatah lagi hingga melibatkan kehilangan nyawa,” katanya lagi.

Pada perkembangan sama, Ahmad Faizal turut menyeru kepada semua peniaga untuk berniaga dengan ikhlas dan anggaplah perniagaan ini sebagai sebahagian daripada ibadah kita dalam bulan yang mulia ini, jangan sekadar mengejar keuntungan semata-mata.

Katanya lagi, mereka juga harus membantu pihak berkuasa tempatan untuk memantau tahap kebersihan gerai makanan dan harga barangan yang dijual.

Pada majlis tersebut, lebih 100 orang peniaga telah menandatangani akujanji Operasi Keselamatan Makanan dan difahamkan ia sedang giat diperluaskan ke seluruh negeri sepanjang bulan Ramadan.

Terdahulu dalam perjalanan beliau ke majlis, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang turut meluangkan masa melawat rumah Norhisham Abdul Rahman, 42, yang musnah dijilat api semalam dekat, Kampung Tersusun Air Kuning, di sini.

Bagi meringankan beban terutama dalam menyambut Ramadan kali ini, Menteri Besar turut menghulurkan sumbangan kepada Norhisham.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");