Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Akan Kaji Kesan Projek Tambakan Laut

IPOH: Kerajaan Perak akan mengkaji kesan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) terhadap perairan dan kebajikan nelayan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam Dan Infrastruktur, Pertanian Dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata sebuah jawatankuasa yang melibatkan jabatan dan agensi berkaitan, pakar, badan bukan kerajaan serta universiti tempatan perlu ditubuhkan bagi memperhalusi perkara tersebut.

Beliau juga dalam masa yang sama, tidak menolak kemungkinan perbincangan dua hala antara kerajaan Perak dan Pulau Pinang akan diadakan untuk membincangkan perkara yang sama.

Selain itu katanya, kerajaan negeri akan turut meneliti semua pandangan yang membantah projek tersebut.

Sebagaimana yang dimaklumkan, beliau menambah, projek tambakan laut itu akan menghakis hutan paya bakau dan menjejaskan kawasan di utara negeri khususnya di Tanjung Piandang dan Bagan Tiang.

Ujarnya kesan dari aktiviti perlombongan pasir di dasar laut Tanjung Piandang, ia juga bakal menjejaskan kehidupan lebih 600 nelayan tempatan.

“Saya telah berhubung dengan pihak Jabatan Perikanan Negeri dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri serta Pejabat Daerah dan Tanah Kerian untuk mendapatkan keterangan lanjut.

“Pihak LKIM negeri menyatakan sehingga kini tiada sebarang perbincangan dengan mana-mana Persatuan Nelayan di Perak atau kumpulan nelayan yang bakal terjejas.

“LKIM negeri tidak menolak sebarang pembangunan yang memberi impak positif namun nasib para nelayan di negeri ini perlu dibela dan dijamin kesejahteraan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu katanya, Persatuan Nelayan Negeri Perak (Penggerak) turut membantah projek tersebut kerana ia dikhuatiri akan menjejaskan pendapatan nelayan pantai zon A terutamanya nelayan tradisional.

Jelasnya persatuan tersebut berkata kesan daripada projek itu, ia akan mengecilkan kawasan penangkapan ikan selain akan menyebabkan para nelayan terpaksa pergi ke kawasan yang lebih jauh untuk menangkap ikan.

“Projek ini akan menjejaskan kualiti air laut dan sumber marin. Ini boleh memberi kesan kepada habitat dan ekosistem hidupan laut sedia ada. Secara tidak langsung akan mengurangkan hasil tangkapan nelayan.

“Selain itu keselamatan nelayan di perairan akan terganggu dan dikhuatiri menyebabkan kemalangan atau kerosakan kepada peralatan tangkapan nelayan.

“Ini kerana kapal-kapal yang membawa batu dan pasir akan melalui laluan yang sama,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");