Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Komited Bela Golongan Petani, Nelayan Darat Dan Penternak

IPOH-Kerajaan negeri Perak sekali lagi komited untuk membantu dan membela nasib rakyat di negeri ini terutamanya dalam kalangan kaum petani, nelayan darat dan penternak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keutamaan akan diberikan kepada ketiga-tiga golongan tersebut yang mana tertumpu di kawasan luar bandar.

Katanya, antara usaha kerajaan kepada golongan penternak adalah sasaran untuk menambah keluasan padang ragut kepada sekurang-kurangnya 3,000 ekar untuk setiap  daerah.

Dalam pada itu katanya, perhatian serius turut diberikan kepada golongan nelayan darat yang benar-benar memerlukan.

“Pembelaan akan diberikan dari segala aspek dimana salah satu langkah yang akan diambil adalah memberi penekanan terhadap pewartaan kolam-kolam nelayan darat.

“Satu lagi sektor penting yang perlu diberi perhatian adalah golongan pesawah.

“Bagi membantu golongan ini, kita akan menubuhkan satu jawatankuasa pemandu untuk mencari jalan supaya semua pesawah dapat meningkatkan pengeluaran padi sekali sekali gus menambah pendapatan mereka,” katanya.

Beliu berkata demikian semasa menyampaikan perutusan sempena setahun di Laman Seri Ridzuan, di Kediaman Lama MB Perak petang tadi yang dihadiri kira-kira 2,000 orang.

Sehubungan itu katanya, jawatankuasa tersebut berperanan mengkaji pelbagai kelemahan sistem penghantaran industri padi secara komprehensif atau menyeluruh agar segala semua itu dapat diperbaiki.

Dalam pada itu tambah beliau, walaupun pelbagai usaha diberikan untuk mengembalikan kegemilangan negeri ini, telah timbul keresahan dalam kalangan rakyat mengenai penyatuan di kalangan parti-parti pembangkang.

“Mungkin ada dalam kalangan kita yang bimbang sama ada strategi terdesak pembangkang menggunakan sentimen agama dan perkauman ini akan menghakis sokongan masyarakat Melayu Islam kepada kerajaan Pakatan Harapan.

“Tetapi ingin saya tegaskan di sini, jangan sesekali kita merasa gundah dan gulana dan tetaplah berpegang kepada prinsip kemakmuran bersama.

Tambahnya lagi, pihaknya tidak akan sekali-kali menggadaikan bangsa dan agama dalam menjunjung perjuangan ini.

“Yakinlah dengan sesungguhnya, perjuangan ini berada dalam landasan yang benar.

“Malahan, Mufti Negeri Perak yang kita kasihi, Tan Sri Harussani Zakaria baru-baru ini menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak melihat kedudukan Islam tertekan atau tergugat di negara ini selepas peralihan kerajaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");