Berita Hari Ini
Like

Kerajaan PH Tidak Pinggirkan Pemandu Dan Pengusaha Teksi

May 26, 2019
354 Views
0 Comments
1 minute read
Kerajaan PH Tidak Pinggirkan Pemandu Dan Pengusaha Teksi

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak meminggirkan kebajikan pemandu dan pengusaha teksi serta telah memberikan bantuan sewajarnya, yang tidak kurang daripada apa diterima daripada kerajaan sebelum ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamaruddin Jaafar berkata jika ada sebarang langkah atau keputusan kerajaan yang dianggap tidak begitu menguntungkan kepada kumpulan tersebut, satu penyelesaian terperinci akan dilakukan.

“Dalam kita mempertimbangkan operasi e-hailing, sudah tentu pertimbangan kita adalah untuk mempastikan bahawa kebajikan pemandu dan pengusaha teksi tidak terjejas dan terabai.

“Tetapi kita sudah tentulah tidak dapat menafikan oleh kerana adanya Grab ini, akan ada pertambahan jumlah perkhidmatan teksi e-hailing, dan ia menjadikan perkhidmatannya kepada rakyat lebih baik kerana mudah untuk rakyat menggunakan perkhidmatan ini,” katanya ketika ditemui pada majlis Jalinan Kasih Ramadan di sini, hari ini, lapor Bernama.

Beliau mengulas laporan sebuah portal memetik Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Shamsubahrin Ismail yang mendakwa rata-rata pemandu teksi menyuarakan rasa kecewa dengan pentadbiran kerajaan PH kerana gagal menjaga kebajikan mereka selepas setahun mentadbir Putrajaya.

Kamaruddin yang juga Anggota Parlimen Bandar Tun Razak berkata langkah pihaknya mengenakan syarat yang ketat terhadap penyedia perkhidmatan e-hailing pada masa ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan tegas dalam menguatkuasakan undang-undang.

Katanya, ia juga menunjukkan kerajaan PH tidak memberikan kelebihan kepada penyedia perkhidmatan e-hailing berbanding pemandu dan pengusaha teksi.

Terdahulu, Kamaruddin menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 400 penduduk sekitar Parlimen Bandar Tun Razak pada majlis yang dianjurkan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) dengan kerjasama persatuan penduduk Kampung Malaysia Raya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.