Berita Hari Ini

Kerajaan Tumpu Langkah Rangsang Ekonomi

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menumpukan langkah menggalakkan aktiviti ekonomi domestik menerusi peningkatan pelaburan swasta bagi memastikan negara terus mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan juga sudah mengambil langkah untuk mempercepatkan aktiviti pelaburan melalui pelaksanaan semula projek-projek yang telah ditangguhkan sebelum ini seperti Bandar Malaysia dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Katanya, penyertaan Malaysia yang proaktif dalam ‘Belt and Road Initiative’ (BRI) dijangka akan memberi kesan limpahan yang besar kepada ekonomi melalui peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dan kesalinghubungan dengan ekonomi dunia lapor BHarian.

“Malaysia berpotensi untuk menjadi gerbang kepada pasaran serantau yang berjumlah lebih daripada 650 juta penduduk yang kuasa beli mereka semakin meningkat.

“Bagi menyokong pertumbuhan ekonomi di samping memastikan kesejahteraan rakyat, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM54.7 bilion perbelanjaan pembangunan pada tahun ini dan akan memastikan pelaksanaan lebih 3,700 projek pembangunan, termasuk pembinaan sekolah, hospital dan jalan raya serta kemudahan infrastruktur,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Malaysia berjaya mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi bagi suku pertama 2019 pada kadar 4.5 peratus meskipun menghadapi faktor-faktor persekitaran luaran yang mencabar.

Mohamed Azmin Ali, berkata antaranya ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang masih berterusan, ketidaktentuan dasar monetari negara-negara maju dan pertumbuhan ekonomi negara-negara Asia yang lebih perlahan.

Penyederhanaan ini katanya, didukung oleh asas ekonomi negara yang kukuh dan sumber pertumbuhan yang pelbagai serta tidak bergantung kepada mana-mana sektor atau pasaran.

“Semakan semula unjuran pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia yang lebih perlahan bagi tahun ini dijangka akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Unjuran yang lebih rendah ini mengambil kira tindakan timbal balas dasar perdagangan antara AS dan China serta risiko kenaikan harga minyak dunia berikutan jangkaan gangguan bekalan minyak mentah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");