Berita Hari Ini

Kerajaan Yakin Inisiatif Kemakmuran Bersama Diterima Semua

PUTRAJAYA: Kerajaan yakin inisiatif Kemakmuran Bersama iaitu konsep ekonomi baharu yang lebih inklusif dan mengambil kira kepentingan semua, akan diterima rakyat keseluruhannya.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata istilah Kemakmuran Bersama itu juga bagi mengatasi kepincangan dalam masyarakat dari segi hasil kekayaan supaya semua kumpulan masyarakat dapat menikmati dengan adil dan saksama.

“Ia bukan dasar ekonomi baharu (DEB) yang lampau yang mana hanya untuk Bumiputera sahaja, ini mengambil kira Bumiputera dan kumpulan lain dalam masyarakat.

“Ini langkah berani kerana sebelum ini ada pihak yang rasa ragu dengan dasar yang hendak dilaksanakan kerajaan dalam konteks pembangunan ekonomi yang dianggap lebih baik, adil dan saksama.

“Ini yang dikemukakan Perdana Menteri selepas satu kajian yang agak mendalam dibuat dan saya yakin kalau ini diterima dan kemudian dilaksanakan maka Malaysia menuju ke masa depan yang lebih maju, berjaya dan mengambil kira kepentingan semua masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Pertahanan yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, berkata Dr Mahathir memberi tumpuan untuk membaiki kepincangan negara dalam tempoh setahun kerajaan PH, selain menangani rasuah dan salahguna kuasa.

“Saya yakin pada tahun kedua (pentadbiran PH) akan banyak lonjakan, perancangan untuk kebajikan rakyat diteruskan dan janji manifesto akan ditunaikan dari semasa ke semasa.

“Kita dapat lihat pencapaian menggalakkan (dalam tempoh setahun) walaupun Tun mengaku kekurangan khazanah negara, saya yakin tahun kedua ini kita akan mula memacu (pembangunan negara), terutama dalam ekonomi,” katanya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ucapan Perdana Menteri sangat berterus terang dan telus untuk kepemimpinan negara serta rakyat mendepani cabaran.

“Kepemimpinan beliau tegas, berani dan bervisi dalam usaha meletakkan landasan negara untuk pembangunan dan pertumbuhan menjelang 2030,” katanya.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata kerajaan akan terus komited untuk melaksanakan mandat perubahan yang diberikan rakyat.

“Kita akan laksanakan tujuh teras strategik yang digariskan Perdana Menteri dan bekerja bersama sebagai satu pasukan,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu itu belum pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia di mana Perdana Menteri mengemukakan laporan prestasi hasil pencapaian tahunan kerajaan PH.

“Antara kejayaan yang dicapai termasuklah dengan menyelesaikan isu penyelewengan Tabung Haji yang secara tidak langsung mendapatkan kembali kepercayaan rakyat kepada institusi itu,” katanya.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");