Sukan Hari Ini

Kerjasama Dengan Jepun Lebih ‘Afdal’

JIKA diminta memilih salah satu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin lebih berminat terhadap kerjasama dengan persatuan bola sepak negara luar demi pembangunan akar umbi berbanding jalinan kerjasama dengan kelab tersohor dunia.

Menerusi laporan Harian Metro, bagaimanapun beliau berkata, kesanggupan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City untuk membeli sebuah kelab di Liga Malaysia tetap disambut baik.

Namun, beliau menegaskan dirinya lebih teruja untuk memantapkan lagi kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) dan Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA) khususnya dalam aspek pembangunan bagi melahirkan pemain berkualiti.

“Jadi, kita kena tengok kelab besar ini datang dengan beberapa keuntungan atau penajaan atau sebagainya. Saya lebih berminat dengan FA Jepun dan Korea yang saya tengah uruskan kerana itu bawah pembangunan akar umbi,” katanya.

Kemuncak kepada hasrat besar Hamidin itu dapat disaksikan pada 5 April lalu, apabila FAM menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan JFA yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Memorandum itu antara lain bertujuan mewujudkan rangka kerja bagi mengukuhkan kerjasama teknikal dan belia selain menggalakkan pertukaran pengetahuan dalam pendidikan kejurulatihan dan pentadbiran kedua-dua pihak.

Di samping itu, ia juga bagi membuka ruang pembangunan demi kepentingan bersama termasuk kem latihan skuad kebangsaan, pendidikan kejurulatihan, pembangunan pengadil, pembangunan teknikal dan belia, bola sepak wanita dan futsal serta pertukaran pentadbiran berkaitan pengkomersialan dan penjanaan pendapatan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan badan induk itu sudah menyenarai pendek tujuh pemain muda tempatan yang akan menjalani latihan dan beraksi di Jepun bersama kelab di sana.

“Ia sebahagian (penghantaran pemain ke Jepun) daripada MoU yang kita tandatangani bersama JFA sebelum ini. Daripada tujuh nama yang diserahkan, mungkin ia akan ditapis lagi oleh pihak mereka.

“Apabila kita menerima senarai akhir nanti, saya akan maklumkan butiran lanjut pemergian pemain dan bentuk latihan yang akan diraih oleh pemain kita sepanjang di sana nanti,” kata Stuart.

Ketika ini, hanya penyerang skuad bawah 23 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak beraksi secara profesional di Jepun bersama pasukan divisyen dua Liga Jepun (J2), Fagiano Okayama yang diikat awal musim ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");