Peguam Simon Murali yang mewakili Guan Eng memberitahu Mahkamah Tinggi sini bahawa kes saman itu selesai setelah satu persetujuan penghakiman dicapai antara kedua-dua belah pihak, yang mana Chang Yeow, selaku defendan dalam kes saman berkenaan menarik balik kenyataan yang dibuat pada tarikh 16 dan 18 Januari tahun lepas.

Simon berkata, pihak defendan secara rela hati dan tanpa syarat menarik balik penyataan-penyataan yang diadukan dibuat olehnya dalam sidang akhbar bertarikh 16 dan 18 Januari 2018 yang mana telah diterbitkan dalam akhbar New Straits Times dan Berita Harian pada 17 Januari dan dalam New Straits Times pada 19 Januari 2018.

“Plaintif dan defendan tidak akan mempunyai sebarang tuntutan di antara satu sama lain pada masa ini dan juga pada masa hadapan atau kausa tindakan kes ini,” katanya di hadapan Hakim Datuk Rosilah Yop di sini hari ini.

Chang Yeow yang hadir sendiri bersama peguam bela Kek Boon Wei telah membacakan kenyataan tarik balik itu di dalam mahkamah di hadapan Hakim Rosilah dan juga Guan Eng.

Kenyataan yang dibacakan Chang Yeow: “Saya dengan ini tanpa syarat dan benar-benar menarik balik kenyataan yang saya buat dalam sidang akhbar yang diadakan pada 16 dan 18 Januari 2018 yang kemudiannya diterbitkan dalam New Straits Times pada 17 Januari 2018 dengan kapsyen “Come clean on payments, Penang urged”, dalam Berita Harian pada 17 Januari 2018 dengan tajuk “Pulau Pinang sembunyi fakta bayaran” dan dalam New Straits Times pada 19 Januari 2018 dengan kapsyen “Penang BN claims CM lied over 4 issues”.)

“Saya menyesali kesukaran yang dihadapi Guan Eng kerana penerbitan yang dinyatakan di atas.”

Selepas kenyataan itu dibacakan, Guan Eng yang turut hadir ke mahkamah telah memberitahu Hakim Rosilah bahawa beliau bersetuju dengan kenyataan tarikan yang dibacakan oleh Chang Yeow.

Pada 13 Mac 2018, Guan Eng telah mengemukakan saman ke atas Chang Yeow sebagai defendan kes.

Dalam tuntutannya, Guan Eng mendakwa Chang Yeow membenarkan dan atau menyebabkan kenyataan palsu ditulis dan diterbitkan di dua akhbar atau di laman web.l lapor Bernama.