Panasnya Hari Ini

Kit Siang Tolak Debat: Elak Dimanipulasi Jadi Isu Perkauman

KUALA LUMPUR: Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, menafikan dakwaan kononnya beliau menarik diri daripada meneruskan debat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerana takut.

Menurut BH Online, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menegaskan beliau memutuskan tidak akan meneruskan debatnya dengan Najib kerana bimbang kemungkinan ia akan dimanipulasi menjadi satu konflik perkauman.

“Sepanjang 48 jam yang lalu, saya menerima segunung nasihat melalui e-mel, Whatsapp dan telefon, termasuk daripada rakyat Malaysia yang menetap di luar negara, menggesa saya untuk tidak berdebat langsung dengan Najib.

“(Tajuk debat) ‘Bagaimana Malaysia terjerumus menjadi sebuah kleptokrasi global dan bagaimana kita boleh kembali menjadi sebuah negara terulung yang berintegriti’ di antara Najib dan saya ini boleh dimanipulasi menjadi satu konflik Melayu vs Cina.

“Perang melawan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan jenayah seperti pengubahan wang haram bukan isu perkauman atau keagamaan tetapi satu isu nilai murni dan pentadbiran yang baik, saya memutuskan untuk tidak meneruskan debat dengan Najib ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata beliau turut sedar keputusannya itu akan disambut dengan pelbagai tuduhan termasuk menuduh beliau seorang penakut.

“Kerjaya politik saya selama 53 tahun adalah terbuka untuk semua rakyat menghakimi sama ada saya seorang penakut ataupun tidak dan saya sentiasa bersedia untuk menerima penghakiman daripada rakyat.

Tetapi, ada satu perkara yang saya tidak akan berkompromi, kepentingan utama negara dan semua rakyat Malaysia,” katanya.

“Kini DAP adalah salah satu parti komponen Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan satu disiplin baru diperlukan dalam kalangan parti komponen untuk mengutamakan kepentingan negara,” katanya.

Dalam wawancara bersama Free Malaysia Today sebelum ini, Najib dipetik berkata beliau sedia meluangkan masa untuk berdebat dengan Kit Siang walaupun sibuk dengan perbicaraan di mahkamah.

Najib mencadangkan debat gaya bebas di mana Kit Siang boleh bertanya apa saja soalan kepadanya dan begitu juga sebaliknya selain membangkitkan gelaran ‘Menteri Hal Ehwal Najib’ yang diberikannya kepada veteran DAP terbabit.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");