Sukan Hari Ini

Klopp Akur Kekalahan

BARCELONA: Jurgen Klopp mengakui skuad kendaliannya Liverpool sudah bermain sebaik mungkin ketika dipalit kekalahan 3-0 kepada Barcelona di Nou Camp, awal pagi tadi.

Barcelona meletakkan sebelah kaki ke final Liga Juara-Juara apabila meraih kemenangan berharga pada aksi separuh akhir pertama di gelanggang sendiri dengan penyerang bintang, Lionel Messi menyumbat dua gol.

“Bola sepak seperti ini. Ia adalah mengenai siapa yang menjaringkan gol dan mereka menjaringkan tiga gol dan kami langsung tiada sebarang gol tetapi persembahan kami amat bagus,” kata Klopp.

“Sejujur-jujurnya pemain tampil dengan persembahan yang cukup baik tetapi menentang pasukan seperti Barcelona, seketika saja sudah cukup untuk memberikan mereka peluang.

“Apa yang boleh saya katakan lagi? Saya amat gembira dengan persembahan tetapi sudah tentu tidak gembira dengan keputusan, kami perlu menerimanya, ia adalah bola sepak dan kami mengetahuinya. Kami tidak memperoleh gred, hanya keputusan yang sukar dan kami perlu menerimanya.”

Liverpool ketinggalan 1-0 sebelum rehat dan selepas mendominasi aksi pada awal babak kedua, Messi tampil dengan persembahan mengagumkan apabila meledak dua gol termasuk satu menerusi rembatan jarak jauh menarik berpunca sepakan percuma.

Skuad bimbingan Klopp turut berpeluang meledak gol menerusi dua cubaan James Milner dan rembatan penyerang berbisanya, Mohamed Salah menggegar palang.

Tanpa jaringan di tempat lawan, tugas Liverpool untuk mengubah situasi pada perlawanan kedua di Anfield lebih sukar.

“3-0 bukan keputusan yang mudah, tetapi kami mempunyai satu lagi perlawanan dan peminat kami akan berada di sana,” kata pengendali dari Jerman itu. – Reuters

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");